PELAJAR tidak mahu melepaskan peluang mencuba aktiviti yang dianjurkan.
PELAJAR tidak mahu melepaskan peluang mencuba aktiviti yang dianjurkan.
PELAJAR MRSM Kota Kinabalu dan fasilitator UPM bergambar kenangan selepas program berakhir.
Rosmariny Rosli

Dalam usaha meningkatkan minat dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pelajar dalam subjek sains, Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Outreach Le Tour of Science di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Program membabitkan 139 pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan manakala UPM pula diketuai pensyarah kanan Fakulti Sains Dr Yap Wing Fen serta 24 siswa Bacelor Sains Kepujian Major Fizik sebagai fasilitator.

Dr Yap berkata, objektif utama program ialah untuk memupuk minat pelajar terhadap sains dan memberi pendedahan kepada mereka mengenai konsep pembelajaran secara interaktif dan praktikal.

“Soalan penilaian subjek Sains dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) sebelum ini berfokuskan soalan objektif yang membolehkan pelajar meneka jawapan.

“Apabila Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) diperkenalkan, soalan subjek Sains lebih menjurus kepada soalan subjektif yang memerlukan pelajar memikirkan sendiri jawapan dan sudah pasti akan menimbulkan masalah kepada mereka untuk menjawab.

“Menyedari masalah itu, kami berusaha membantu mereka menyemai minat dan penghayatan terhadap sains dengan pendekatan berfokuskan pelaksanaan aktiviti secara praktikal selain memberi mereka peluang menyaksikan, mengalami sendiri dan mempelajari konsep sains yang berlaku dalam kehidupan seharian,” katanya.

Antara slot yang berjaya menarik minat pelajar ialah PokemonGoSains iaitu aktiviti berbentuk penerokaan merangkumi 12 stesen (Pokestop Sains). Ia menyediakan eksperimen dengan memberi peluang kepada peserta melihat, mendalami dan mempelajari secara langsung konsep sains yang berlaku dalam kehidupan seharian.

Aktiviti Agen CSI juga menyeronokkan apabila pelajar diberi tugasan menyelesaikan kes pembunuhan dalam slot CSI berdasarkan sains termasuk cap jari, jenis darah dan bahan bukti lain.

Aktiviti lain diadakan ialah Magik VS Sains, Dunia Sains, Eureka! yang merangsang dan memupuk pemikiran kreatif dan inovatif.

Pelajar UPM, Athir Aiman Sahar menyifatkan penganjuran program di luar bilik darjah seperti Le Tour of Science dapat membuka minda pelajar untuk meningkatkan pemahaman terhadap ilmu dipelajari secara teori dalam kelas.

“Melalui aktiviti yang disediakan sepanjang program, ia dapat meningkatkan minat pelajar menerokai ilmu pengetahuan dalam bidang sains, malah mencetuskan semangat ingin tahu dalam dunia sains,” katanya.

Guru Sains MRSM Kota Kinabalu Hafizul Hanis Mohd Shahar yang juga penyelaras program berkata, aktiviti itu dapat memupuk KBAT pelajar untuk melonjakkan prestasi dalam PT3.

“Ini membantu mereka belajar memahami dan menghayati sains. Semoga program ini memberi manfaat bukan saja memupuk minat pada subjek sains, malah boleh cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 10:49 AM