RILLY menunjukkan ketinggian paras air yang naik ketika kejadian tsunami.
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

Meulaboh (Aceh Barat): Meulaboh yang kini sudah berusia 425 tahun pernah 75 peratus musnah sewaktu gelombang tsunami melanda pada 26 Disember 2004 lalu selepas gegaran gempa terjadi berpusat di Lautan Hindi berdekatan kota ini.

Kejadian itu meninggalkan kesan amat mendalam kepada Rilly Faliandra, 27, dan keluarganya hingga menyebabkan dia sekeluarga membuat keputusan meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke Banda Aceh yang berjarak kira-kira 244 kilometer jauhnya.

Walaupun berat hati menjejaki semula rumah menyimpan kenangan duka itu, namun digagahkan jua untuk memenuhi tugasnya sebagai pemandu pelancong PT Atrabu Tour & Travel yang membantu wartawan serta jurugambar sepanjang membuat liputan di Aceh.

“Semua ahli keluarga saya sudah berpindah ke Banda Aceh. Rumah bernombor 349 Kelurahan Kuta Padang, Kecamatan Johan Pahlawan, Kabupaten Aceh Barat ini meninggalkan kenangan yang sangat duka.

“Ketika kejadian 10 tahun lalu, seingat saya hampir tujuh mayat berada di kawasan dan dalam rumah ini selepas berlakunya gempa dan diikuti gelombang dahsyat tsunami.

“Seperti mangsa lain yang terselamat, saya rasa sepanjang jalan antara pergunungan tempat saya menyelamatkan diri sehingga ke rumah tidak kurang puluhan mayat saya angkat untuk diletakkan di tepi jalan sebelum diangkut kenderaan Palang Merah Indonesia,”katanya.

Kejadian itu mendatangkan trauma berpanjangan sehingga dia sekeluarga mengambil keputusan berpindah ke rumah baru di di Jalan T Umar, Kelurahan Lamteumen Timur, Kecamatan Jaya Baru, Banda Aceh.

Sementara itu, Wakil Bupati Aceh Barat, Dr Rachmat Fitri berkata, kerancakan pembangunan di daerah berkenaan berlaku dengan pesat sejak tsunami melanda sedekad lalu.

“Dalam tempoh dua tahun, peruntukan pembangunan Aceh Barat mencecah sehingga RM28 bilion. Satu sejarah untuk daerah ini apabila menerima lebih dua kali ganda daripada peruntukan biasa.

“Pemerintah inginkan kota Meulaboh menjadi daerah dagang dan pelaburan yang unggul di Sumatera Utara dan oleh itu prasarana dipersiapkan termasuk pelabuhan baru.

“Selain itu, pelabur datang mengkaji tanah untuk cari gali arang batu dan kajian mendapati kandungan arang batu tinggi di wilayah ini,”katanya sambil memberitahu industri itu menjadi lapangan kerja baru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:13 AM