ANTARA rokok seludup yang dirampas. FOTO ihsan Pasukan Polis Marin
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my


Kuantan: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga merampas 487 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM58,440 selepas melakukan serbuan di rumah di Tanjung Lumpur, di sini, semalam.

Dalam serbuan 11.30 pagi itu pihak berkuasa menemui ratusan karton rokok seludup yang disembunyikan di dalam beberapa kotak di dalam bilik di rumah itu.

Komander PPM Wilayah Tiga Asisten Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, siasatan awal mendapati kegiatan penyeludupan rokok itu berlaku di kawasan persisiran pantai di bandar Kuantan.

"Kami percaya rokok ini untuk pasaran bandar ini memandangkan permintaannya sangat tinggi," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 5:00 PM