Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

Banda Aceh: Zaman kanak-kanak Ridwan Arifin ketika konflik bersenjata antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di wilayah utara Sumatera bergelar Naggroe Aceh Darussalam dipenuhi ketakutan.

Ridwan, 28, yang juga bekas Ketua Pelajar Aceh di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, dia antara generasi muda beruntung dihantar ibu bapa ke luar negara supaya belajar dan pulang berbakti ke tanah air.

Seawal usianya 18 tahun, dia dihantar belajar di Maahad Addini At Thanawi di Doha, Qatar sebelum melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di UIAM selama lima tahun dalam jurusan Usuluddin dan Perbandingan Agama.

“Saya masih ingat ketika masih kanak-kanak, hidup dirasakan tidak selamat. Melihat tentera di jalan raya pun menimbulkan rasa takut.

“Waktu itu, perasaan menjadi cemas jika melintasi pos kawalan tentera. Hidup kami tidak tenteram disebabkan konflik antara GAM dan TNI. Malah, ada saudara saya yang ‘hilang’ dalam konflik itu.

“Setahun selepas tsunami GAM dan TNI bersetuju menamatkan konflik 30 tahun. Keamanan dikecapi sekarang adalah impian kami sekian lama,” kata graduan yang baru mendapat ijazah pertamanya dari UIAM, Oktober lalu.

Sebagai generasi muda terpelajar, Ridwan menyimpan hasrat tinggi untuk bersama membangunkan Aceh setara dengan tempat maju lain di dunia.

Menurutnya, pembangunan pendidikan di wilayah Aceh perlu dipergiatkan lagi dengan melahirkan pakar serta profesional lepasan pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara.

“Saya sangat beruntung sebab ayah dan ibu memberatkan aspek pendidikan untuk bekalan hidup. Pengalaman ketika konflik dulu saya gunakan sebaiknya termasuk ketika dilantik Ketua Persatuan Pelajar Aceh Tanah Rencong (PARSA).

“Oleh sebab itu, saya sangat aktif dalam hal pendidikan. Contohnya, jika balik Aceh saya mempromosikan universiti bagus untuk anak Aceh melanjutkan pengajian termasuk UIAM yang diiktiraf antarabangsa,” katanya.

“Kami juga ada persatuan alumni yang sesekali turut mengadakan pertemuan dengan pengisian sesi percambahan idea untuk memajukan Aceh. Setiap kami menyumbang idea di bidang masing-masing seperti kedoktoran, arkitek, agama, sains dan undang-undang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 8:33 AM