NIK Ariff (tengah) bersama-sama Dr Kalai (kiri) dan Dr Arham membincangkan penyelesaian pendidikan terbaru bertujuan mengubah bilik darjah tradisional kepada digital.
DARI kiri, Nik Ariff, Dr Kalai dan Dr Arham bergambar kenangan pada acara Digital Campus 2016.
NIK Ariff (kiri) bersama Dr Arham memberi penerangan mengenai kepentingan penggunaan teknologi dalam pembelajaran abad ke-21.
KEPESATAN teknologi memberi kesan kepada kaedah pembelajaran yang lebih bersifat global. - Gambar Google
Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my


Perkembangan teknologi banyak mengubah cara belajar di seluruh dunia menjadikan proses pembelajaran semakin melangkaui ruang fizikal bilik kuliah dan bersifat lebih global.

Rentetan itu, ramai penyelidik dalam bidang akademik di dalam dan luar negara giat menerokai potensi teknologi serta peralatan mudah alih untuk menyokong proses pembelajaran.

Tidak mahu ketinggalan mengoptimumkan keupayaan teknologi dalam sektor pendidikan tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan langkah proaktif dan pembaharuan secara berperingkat menerusi pengenalan konsep bilik darjah digital.

Transformasi yang diperkenalkan itu bagi menggantikan konsep pembelajaran tradisi selain selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang antara lonjakan utamanya Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global.

Pengarah Bahagian Hubungan Industri KPT Prof Madya Dr Arham Abdullah berkata, langkah itu perlu bagi meningkatkan penggunaan teknologi dalam landskap pendidikan pada abad ke-21.

Menurutnya, penggunaan teknologi itu juga diharap mampu membuka dimensi baru ke arah kecemerlangan sektor pendidikan tinggi sekali gus memacu kejayaan lebih gemilang untuk jangka panjang.

“Menjadi aspirasi kementerian untuk mencipta sistem pendidikan tinggi yang mampu menjadi contoh di peringkat global bagi membolehkan negara kita mampu bersaing dalam ekonomi antarabangsa.

“Pemain industri perlu menjadi peneraju bagi membolehkan inovasi dan transformasi pendidikan secara digital dapat direalisasikan.

“Kami akan terus bekerjasama dengan industri untuk membangunkan sistem yang kurang fokus pada kaedah tradisional, sebaliknya menjadi laluan akademik dengan meletakkan nilai sama ke atas latihan yang sangat diperlukan di bidang teknikal dan vokasional bagi meningkatkan kebolehpasaran kerja,” katanya.

Buat masa ini Microsoft Malaysia dengan sokongan KPT memperkenalkan satu penyelesaian pendidikan terbaru untuk mengubah bilik kuliah tradisional menjadi digital.

Menerusnya proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) menjadi lebih mudah dengan penggunaan aplikasi tertentu ketika kuliah, penggunaan media sosial untuk menghantar bahan pengajaran, tutorial dan sebagainya sekali gus berkeupayaan meningkatkan komunikasi hingga ke peringkat global sama ada secara dua hala atau lebih.

“Bagi tujuan itu, KPT giat mengejar teknologi dan inovasi bagi memenuhi keperluan warga kampus serta mewujudkan pengalaman pembelajaran interaktif.

“Suasana P&P juga akan menjadi lebih menarik melalui penggunaan elemen ICT seperti teks, audio, video, grafik dan animasi yang mampu meningkatkan tahap kemahiran berfikir serta berkomunikasi bagi menyelesaikan masalah, seterusnya membuat keputusan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Sektor Awam Microsoft Malaysia Nik Ariff Nik Omar mengakui teknologi bakal memainkan peranan lebih besar dalam mengubah sistem pendidikan pada masa depan.

“Kami menjangka pendidikan abad ke-21 berkembang pesat dengan teknologi bakal berada di barisan hadapan dalam pendidikan serta melengkapkan pelajar dengan kehidupan serta kemahiran kerja yang mampu bersaing di peringkat global.

“Seiring dengan generasi muda membentuk kira-kira 62 peratus daripada tenaga kerja pada tahun 2015 serta peningkatan akses kepada teknologi seperti mudah alih dan penyimpanan awan (penyimpanan teknologi komputer berasaskan Internet), terdapat permintaan tinggi bagi kandungan digital dan pengalaman melalui pelbagai aplikasi serta platform dalam talian.

“Menerusi kecanggihan teknologi, kami mampu mewujudkan suasana dan pengalaman baru untuk guru serta pelajar. Ditambah pula dengan pelbagai kaedah untuk berhubung dan ini secara semula jadi mengarah kepada perubahan dalam pengajaran serta pembelajaran seperti yang kami tunjukkan hari ini,” katanya.

Memberi pendapat yang sama, Pakar Teknologi dan Pensyarah Kanan Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) Dr Kalai Anand Ratnam berkata, beberapa teknologi utama Microsoft sudah mengubah bilik darjah untuk pembelajaran kolaboratif.

Antara alat yang digunakan ialah Microsoft’s Skype for Business (sebahagian perisian Office 365 untuk pendidikan) yang membolehkan komunikasi dan kolaborasi dari mana-mana tempat dan bila-bila masa tanpa menggunakan sebarang peranti.

“Selain kemudahan yang diwujudkan teknologi berasaskan awan (Internet), alat pembelajaran oleh Microsoft akhirnya meningkatkan kerjasama di dalam dan di luar bilik darjah.

“Ia turut menyediakan pelbagai pengalaman pembelajaran berkenaan kehidupan sebenar di peringkat global seperti pelajar berhubung dengan pendidik secara maya dan meraih manfaat dari seluruh dunia,” katanya.

Nik Ariff berkata, dengan transformasi digital dalam pendidikan sebagai fokus utama, Microsoft akan terus mempromosikan pembelajaran abad ke-21 di Malaysia.

“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, rakan kongsi tempatan, komuniti, sekolah dan pendidik untuk menggunakan kuasa teknologi maklumat dalam menyediakan pembelajaran mudah diakses di mana-mana saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 5:51 AM