SHARIFAH Aini dalam salah satu persembahannya di RTM.
ALBUM ‘live’ terakhir Sharifah Aini wajar dimiliki.
Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Kemerduan suara serta kekuatan jati diri Allahyarham Datuk Sharifah Aini sebagai penghibur meletakkan beliau sebagai salah seorang penyanyi tanah air yang bertahan lebih empat dekad dan kekal hingga ke akhir hayatnya.

Atas pencapaian beliau yang gemilang itu juga antara faktor membuatkan Orkestra RTM (ORTM)memberikan penghormatan tertinggi apabila bekerjasama bersama Biduanita Negara ini merakamkan sebuah konsert eksklusif pada 2012 yang menghimpunkan seleksi lagu-lagu terbaik sepanjang kariernya.

ORTM yang ditubuhkan pada tahun 1961 di bawah Jabatan Penyiaran Malaysia adalah satu-satunya orkestra badan penyiaran yang masih beroperasi di Asia Tenggara.

Pegawai Perhubungan Awam Life Records, Sariah Idris berkata, rakaman Konsert Eksklusif Datuk Sharifah Aini bersama Orkestra RTM berlangsung di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur di bawah Pemimpin ORTM Ahmad Ali@Jimmy Ali dan Pengarah Muzik ORTM, Datuk Mokhzani Ismail.

"Ini adalah impian dan permintaan terakhir Allahyarham yang teringin melihat lagu-lagunya dihasilkan dalam sebuah album untuk diberikan khusus kepada peminat.

"Jika diikutkan perbincangan bersama Datuk Mokhzani sudah lama dilakukan, namun ia tergendala sementara apabila arwah sakit dan terlantar.

"Tidak lama kemudian, selepas pemergian arwah ketika pihak kami berbincang dengan Mokhzani, timbul semula perancangan ini untuk menghasilkannya dan alhamdulillah pada

17 November lalu ia sudah pun dipasarkan dan kami turut melancarkannya pada 22 November lalu ketika Mokhzani sedang mengadakan sesi rakaman konsert live bersama Datuk M Daud Kilau," katanya.

Pun begitu, apa yang menyedihkan mereka, belum pun sempat album ini menjengah pasaran, Sharifah Aini terlebih dulu pergi menghadap Ilahi pada 5 Julai lalu.

"Pemergiannya adalah satu kehilangan besar kepada Industri hiburan negara dan sangat dirasai semua terutama peminat setianya.

"Justeru, atas usahasama antara Life Records dan ORTM serta kerjasama RTM, inisiatif ini diambil untuk memasarkan album Konsert Live Terakhir ini dalam bentuk Album.

"Album mengandungi CD yang memuatkan 14 lagu nyanyian secara 'live' Datuk Sharifah Aini bersama ORTM ini turut memuatkan bonus DVD Konsert 'live' Datuk Sharifah Aini bersama ORTM.

"Kami berharap impian terakhir arwah untuk melihat album ini dipasarkan mendapat sambutan daripada peminat setianya. Kami juga yakin lagu-lagu popularnya seperti Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Hapuslah Air Matamu menjadi siulan ramai dan album ini turut memuatkan lagu-lagu berkenaan serta lagu popularnya," katanya.

Album buah tangan terakhir Sharifah Aini ini boleh didapati di pasaran dengan harga hanya RM 25.90.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:00 AM