Awie lega Sharifah Ladyana teman setia kepada anak-anaknya. FOTO NSTP
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon terkenal Awie lega dan bahagia apabila tiga anak yang kini di bawah jagaannya sangat rapat dan menyayangi ibu tiri mereka, Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 29.

Awie, 48, ketika ditemui berkata, dia terharu melihat pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan isterinya.

“Alhamdulillah anak-anak sangat rapat dengan isteri. Mereka memanggilnya ‘mummy’,” katanya.

Awie dan Sharifah Ladyana sah bergelar suami isteri pada 7 Oktober lalu dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Songkhla, Thailand.

Tiga anak yang kini berada di bawah jagaannya ialah Puteri Aleeya Antasha, 16; Puteri Aleefa Antasha, 14; dan Putra Ahmad Merrah,9.

Dua lagi anaknya ialah Putra Ahmad Rezzki, 8; dan Puteri Qasseh Antasha, 6, yang kini tinggal bersama ibu mereka Rozana Misbun.

“Dulu saya pernah beritahu hanya orang 'gila' saja yang mahukan saya yang sudah memiliki lima anak, tetapi saya kagum dan terharu melihat dia (Ladyana) mengambil cabaran untuk memikul tanggungjawab dalam menjaga serta memberi kasih sayang terhadap anak-anak saya.

“Saya juga kagum melihat cara dia menghabiskan masa bersama anak-anak walhal dia masih muda dan tidak mempunyai pengalaman. Namun, dia berusaha menjadi ibu yang terbaik,” katanya.

Awie berkata, sejak berkahwin dengan Sharifah Ladyana, mereka sama-sama menguruskan persekolahan dan menjadi teman setia kepada anak-anak.

“Setiap hari dia akan menguruskan persekolahan anak-anak. Kadang-kadang saya kasihan melihat dia menghantar dan menjemput anak dari sekolah tetapi dia menawarkan dirinya kerana minat dan selesa.

“Antara sebab utama saya mempercepatkan proses perkahwinan ini juga adalah disebabkan perkara ini. Saya nak pastikan anak-anak tidak berasa kekurangan atau ketinggalan serba-serbi,” katanya.

Ini adalah perkahwinan ketiga buat Awie dan pertama bagi Sharifah Ladyana.

Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Arni Nazira Anuar pada 1998 yang bertahan selama lapan tahun dan dikurniakan dua anak.

Awie kemudian menikahi Rozana Misbun pada 2006 tetapi tidak tinggal sebumbung sejak 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2016 @ 10:48 PM