Gambar harimau belang yang dikatakan diburu di Pahang tersebar di media sosial.
BERNAMA

Putrajaya: Pasukan petugas Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang menyiasat gambar beberapa individu bersama bangkai seekor harimau belang yang disebarkan di media sosial, meragui lokasi gambar itu dirakam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, netizen mendakwa gambar itu dirakam di Pahang, namun pasukan petugas yang turut dianggotai kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), meragui maklumat itu.

Beliau berkata, jabatan itu melakukan pengecaman ID (tanda pengenalan) Harimau Belang mengikut rekod data haiwan itu menerusi pemantauan dan inventori.

"Perhilitan menjalankan pengecaman ID Harimau Belang di Taman Negara dan mendapati harimau dalam gambar itu tidak sepadan dengan ID Harimau Belang Taman Negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Inventori pula dilakukan di Semenanjung Malaysia terutamanya di Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Hutan Simpan Temenggor dan Taman Negeri Royal Belum, Taman Negeri Endau-Rompin serta kawasan lain.

Wan Junaidi berkata pihaknya memandang serius isu gambar itu yang viral di media sosial sejak 6 Oktober lalu, dan mengarahkan pasukan petugas segera menyiasatnya mengikut Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] iaitu memburu Harimau Belang tanpa permit khas.

Pelakunya boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 serta penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Menurutnya Perhilitan juga bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bagi mengesan suspek dalam gambar itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung gambar terbabit diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 10:58 PM