PAHANG hanya hasil 3.2 juta biji kelapa setahun berbanding keperluan 28 juta.

Usaha menambah keluasan tanaman kelapa di Pahang kini dilakukan Jabatan Pertanian dan Bahagian Pembangunan Ekonomi Negeri (BPEN) yang akan menyediakan pelan jangka panjang pembangunan tumbuhan berkenaan.

Selain penyediaan kawasan sesuai, pendedahan dan bimbingan secara berterusan kepada pekebun juga dilakukan bagi memastikan projek diusahakan berjaya.

Ini ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Shafik Fauzan Sharif yang yakin kerjasama dua agensi berkenaan dapat menambahkan keluasan tanaman kelapa secara berperingkat.

Katanya, bagi menghasilkan pokok kelapa berkualiti dan menghasilkan buah yang banyak, pekebun perlu mendapat bimbingan secukupnya daripada individu berpengalaman.

“Keperluan terhadap kelapa ketika ini begitu tinggi dan sentiasa mendapat permintaan sepanjang masa oleh pengguna di rumah dan restoran, selain untuk menghasilkan pelbagai produk berasaskan makanan.

“Saya berharap Jabatan Pertanian Pahang dan BPEN Pahang dapat mengadakan perbincangan serta mengemukakan pelan jangka panjang mengenai hala tuju tanaman kelapa di negeri ini dalam usaha memenuhi permintaan yang meningkat.

“Saya difahamkan, Pahang mempunyai kawasan tanah yang luas dan sesuai untuk tanaman kelapa. Pada masa ini, tiga daerah iaitu Rompin, Pekan dan Kuantan paling banyak tanaman kelapa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian penutup Simposium Pembangunan Kelapa-Industri Tanaman Kelapa Negeri Pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, Kuantan, baru-baru ini. Hadir sama Pengarah Pertanian Pahang Mohd Anim Mohd Hosnan.

Pada majlis itu, lebih RM198,000 peruntukan kepada peserta kelompok tanaman kelapa bagi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin turut disampaikan.

Shafik Fauzan berkata, tanaman kelapa merangkumi pelbagai jenis seperti Malayan Tall, Mawa, Ceylon, Tagnanan, Rennel Tall, Matag dan Maren dengan setiap jenis mempunyai kelebihan masing-masing.

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha kelapa secara kecil-kecilan di negeri ini lebih tertumpu kepada satu atau dua jenis kelapa seperti Matag yang mendapat permintaan tinggi selain tawaran harga lebih mahal.

“Sebagai contoh, kelapa Matag kini mendapat permintaan menggalakkan yang digunakan untuk minuman selain menghasilkan jeli kelapa sehingga harga ladangnya antara RM1.20 hingga RM1.50 sebiji.

“Dengan adanya simposium ini, banyak maklumat dapat disalurkan kepada pengusaha supaya mereka mempelbagaikan jenis kelapa yang akan ditanam seterusnya memberi pulangan hasil lumayan.

“Sehingga kini, terdapat kira-kira 224 hektar tanaman kelapa diusahakan di seluruh Pahang. Saya berharap jumlah berkenaan terus bertambah datang terutama membabitkan Pahang Barat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Anim berkata, Pahang kini hanya mampu mengeluarkan kira-kira 3.2 juta biji kelapa setahun berbanding keperluan 28 juta setahun menyebabkan terpaksa mengimport dari Johor dan Perak.

Beliau berkata, kempen menanam pokok kelapa akan terus dilakukan di luar bandar yang mempunyai tanah terbiar dan sesuai untuk tanaman itu.

“Bantuan kepada peserta kelompok tanaman kelapa sebanyak RM198,000 diharap dapat meningkatkan kesungguhan mereka memajukan projek yang diusahakan dengan bantuan Jabatan Pertanian.

“Kini terdapat seramai 133 peserta di Kuantan, Rompin (155) dan Pekan (47) terbabit dengan projek tanaman kelapa secara berkelompok yang diusahakan secara berperingkat,” katanya.

Menurutnya, untuk menambah pengeluaran kelapa di negeri ini, Jabatan Pertanian sentiasa berusaha menggalakkan individu dan syarikat terbabit dengan tanaman berkenaan secara komersial.

“Pelbagai kemudahan disediakan kepada pihak yang berminat selain kursus, bantuan benih dan baja turut diberikan secara berperingkat mengikut kesesuaian.

“Projek tanaman kelapa berkelompok di Kampung Semangat, Kuantan, antara kejayaan yang dapat dilihat apabila peserta berjaya meraih pendapatan lumayan secara berterusan sepanjang tahun.

“Kejayaan projek di kampung berkenaan diharap menjadi contoh kepada peserta projek lain untuk berusaha lebih gigih dan bersungguh-sungguh,” katanya yang akan terus memantau setiap projek tanaman kelapa di Pahang. - Mohd Rafi Mamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2016 @ 5:11 AM