SULAIMAN
SHAMSUL Anuar
WAN Ahmad dan Tan bertukar dokumen perjanjian sambil disaksikan Tay (kiri), Sulaiman (tengah) dan Shamsul Anuar (kanan).
Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan AmBank (M) Berhad (AmBank) melaksanakan kerjasama bayaran secara dalam talian JomPAY bagi memudahkan peminjam untuk membuat bayaran balik pinjaman dan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) membuat simpanan.

Melalui kerjasama berkenaan, MyClear akan menyediakan satu platform transaksi iaitu JomPAY bagi memberi kemudahan dan akses kepada peminjam PTPTN untuk membuat bayaran balik secara dalam talian dengan cepat dan menjimatkan masa.

Ketua Eksekutif PTPTN Wan Ahmad Wan Yusoff berkata, pihaknya berbesar hati bekerjasama dengan AmBank dan MyClear bagi menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik bulanan yang konsisten.

“Perkhidmatan pembayaran bil dalam talian melalui Internet dan perbankan mudah alih ini membolehkan transaksi dilakukan menerusi lebih 40 bank di Malaysia secara percuma.

“Selain inisiatif terbaru ini, kami menyediakan pelbagai platform lain untuk memudahkan peminjam membayar balik pinjaman mereka, antaranya melalui 11 saluran perbankan Internet, berurusan di kaunter PTPTN, pengeluaran akaun II Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan gaji.

“Setakat ini, 30 peratus bayaran balik menerusi perbankan Internet, 30 peratus pengeluaran akaun II KWSP, 30 peratus di kaunter PTPTN dan baki 10 peratus secara potongan gaji.

“Justeru, kami menyasarkan penggunaan dalam talian meningkat 10 peratus kepada 40 peratus dengan kemudahan JomPAY dilancarkan hari ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Perjanjian Dagangan JomPAY antara PTPTN dan AmBank di Bangunan AmBank, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, Naib Presiden Kanan Perbankan Transaksi AmBank Tan Chin Aun dan Ketua Pegawai Operasi MyClear, Tay Gim Soon.

Bagi Sulaiman, JomPAY sebagai saluran transaksi perbankan percuma kepada orang awam dan skim pembayaran bil kebangsaan sejak tahun lalu seiring dengan usaha Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan kaedah pembayaran secara manual mahupun menerusi cek.

“JomPAY boleh diakses 24 jam setiap hari tidak kira di mana saja asalkan mempunyai capaian Internet dan boleh digunakan menerusi komputer atau telefon pintar.

“Peminjam mempunyai pilihan tambahan mengurus bayaran balik pinjaman mereka dengan JomPAY melalui akaun bank simpanan atau semasa dan kad kredit tanpa bayaran tambahan.

“Ia begitu efisien dan sebab itu saya rasa peminjam tidak boleh lagi memberi pelbagai alasan membayar balik pinjaman kerana rata-rata daripada mereka generasi Y yang mahir dengan teknologi terkini,” katanya.

Sementara itu, Shamsul Anuar menjelaskan, PTPTN memerlukan dana sekurang-kurangnya RM4 bilion setiap tahun untuk 200,000 pelajar baru di samping menampung 400,000 pelajar yang menuntut.

Justeru, usaha dan strategi yang dilaksanakan PTPTN diharap dapat memberi kesedaran serta galakan tinggi kepada peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten demi memastikan generasi akan datang dapat merasai kemudahan pinjaman disediakan PTPTN.

“Bagi peminjam mempunyai tunggakan atau rekod buruk di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), mereka perlu segera berunding dengan PTPTN.

“Menerusi rundingan, kami boleh buat penstrukturan semula mengikut kemampuan kewangan peminjam.

“Selain itu, ingin saya jelaskan CCRIS bukan tindakan menyenarai hitamkan peminjam kerana CCRIS sistem berpusat BNM bagi mengumpul dan menyimpan semua data berkaitan kredit atau hutang dengan bank serta institusi kewangan lain dan ia menjadi rujukan institusi kewangan atau penyedia kredit di Malaysia,” katanya.

PTPTN melaksanakan pelbagai kerjasama strategik dengan pelbagai pihak bagi memudahcara urusan peminjam PTPTN yang ingin membeli rumah, kenderaan atau membuat pinjaman antaranya dengan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), syarikat hartanah dan syarikat kenderaan tidak terkecuali dengan AmBank sebagai institusi kewangan.

Kerjasama AmBank dengan PTPTN membantu peminjam PTPTN mempunyai rekod buruk di dalam CCRIS disebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman. Mereka boleh membuat pinjaman melalui AmBank sekiranya menunjukkan bukti pembayaran balik yang dirunding dengan PTPTN.

INFO

Saluran baharu JomPAY:

• Mudah dan selamat.

• Membuat bayaran balik pinjaman & penambahan deposit SSPN -i

• JomPAY online melalui perbankan @ telefon mudah alih daripada 40 bank terlibat.

• Maklumat lanjut di www.ptptn.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 5:05 AM