TIDAK seperti bandar raya besar lain, Jakarta tidak mempunyai sistem pengitaran semula yang sempurna.
DUA remaja berkeliaran di kawasan pembuangan sampah utama di pinggir Jakarta.
DUA penduduk membawa beg berisi sampah melintasi landasan kereta api di sebuah pusat pungutan barangan kitar semula di Jakarta.
PENDUDUK Jakarta membuang kira-kira 6,500 tan sampah setiap hari.
BEG berisi sampah yang boleh dikitar semula ditimbang di sebuah pusat pengumpulan di Jakarta.
HASIL daripada barangan yang boleh dikitar semula menjadi punca pendapatan segelintir penduduk Jakarta.
PEKERJA mencampakkan karung berisi sampah dari sebuah trak di tempat pembuangan sampah di Jakarta.
Agensi

Di satu kawasan tempat pembuangan sampah di Jakarta, sekumpulan lelaki dan wanita dilihat mengumpulkan botol plastik sebelum memasukkannya ke dalam beg besar, tanpa menghiraukan bau busuk di kawasan berkenaan.

Mereka memperoleh sejumlah kecil pendapatan dengan menjual botol dan cawan plastik kepada syarikat yang mengitarnya semula.

Jakarta menghasilkan kira-kira 6,500 tan sampah setiap hari.

Tetapi, tidak seperti bandar besar lain, ia tidak mempunyai sistem pengitaran semula yang baik.

Sebahagian besar penduduk membayar lori sampah untuk memungut bahan buangan harian mereka.

Ramai juga yang membuang saja sampah di tepi jalan atau kawasan lapang.

Sejumlah besar sampah itu berakhir di tempat pembuangan sampah utama di pinggir Jakarta atau ke dalam sungai di seluruh bandar raya berkenaan yang permukaannya biasanya dilitupi botol dan beg plastik atau sisa barangan buangan lain.

Plastik khususnya menjadi masalah utama.

Indonesia, negara ekonomi terbesar di Asia Tenggara adalah sumber sisa plastik kedua terbesar di laut di seluruh dunia selepas China, menurut kajian Universiti Georgia tahun lalu.

Jumlah besar sampah di Jakarta juga menjadikan negara itu terdedah kepada banjir kerana ia menyekat sistem perparitan dan saliran.

Bagaimanapun, keadaan kini bertambah baik di beberapa bahagian bandar yang didiami 10 juta penduduk itu dengan pihak berkuasa meningkatkan usaha membersihkan sungai utama sejak beberapa tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 5:01 AM