SEORANG bakal calon gabenor memperdengarkan bacaannya di hadapan hakim di Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh pada Rabu lalu. - VIVA.co.id
Agensi

Banda Aceh: Seramai 12 bakal calon gabenor dan timbalan gabenor wilayah Aceh menjalani ujian membaca al-Quran sebagai syarat untuk bertanding dalam pilihan raya ketua daerah yang dijadual berlangsung tahun depan.

Ujian bacaan itu berlangsung di Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh pada Rabu lalu yang disertai enam bakal calon gabenor dan enam bakal calon timbalannya.

Ketua Suruhanjaya Bebas Pemilihan Aceh, Ridwan Hadi berkata, ujian itu antara beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk sesiapa yang berhasrat menjadi calon gabenor dan timbalan gabenor wilayah itu.

“Syarat mampu membaca al - Quran dengan baik hanya ada di Aceh sahaja.

“Calon yang tidak mampu membaca al Quran sama sekali akan ditolak pencalonan mereka,” katanya ketika dipetik portal Kompas.com.

Menurutnya, calon bukan sahaja dinilai dari segi bacaan tetapi turut merangkumi hukum tajwid serta pemahaman mereka mengenai tafsiran ayat suci berkenaan.

“Dengan ujian ini diharap calon mampu menerapkan nilai-nilai kepimpinan seperti dalam al-Quran sekiranya mereka dipilih nanti,” jelasnya.

Kata Ridwan, pada pilihan raya ketua daerah sebelum ini ada calon gabenor yang tidak boleh membaca al Quran menyebabkan pencalonannya ditolak.

“Semua calon pada pilihan raya kali ini mampu membaca al Quran dan semua mereka lulus ujian ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 6:25 AM