KAFE Toppels yang terletak di Wertheim dibuka kepada pengunjung awal tahun ini.
SEORANG wanita mengambil gambar di dalam bilik mandi bersama seekor anjing dalam keadaan terbalik.
PERALATAN memasak dan barang makan semuanya seolah-olah tergantung.
DUA wanita teruja bergambar di dalam bilik kanak-kanak.
SEORANG lelaki seolah-olah memasukkan tangannya ke dalam jamban dalam keadaan terbalik.
Agensi

Sebuah kafe di Jerman semakin terkenal di media sosial kerana mempunyai konsep unik yang memaparkan segala-galanya dalam keadaan terbalik.

Kafe Toppels yang terletak di pinggir jalan di Wertheim itu dibuka awal tahun ini dan mendapat sambutan hebat daripada pelancong yang begitu teruja melihat konsepnya yang unik dan mengagumkan itu.

Selain hiasan dalamannya yang mengelirukan, kedudukan kafe itu juga terbalik apabila atapnya berada di bawah sementara sebuah kereta yang tergantung dalam keadaan agak berbahaya diletakkan di bahagian atas bangunan itu.

Kafe itu milik keluarga Toppels dan semua barangan yang diletakkan terbalik itu juga kepunyaan mereka.

Dalam bilik mandi, singki, tandas dan tab mandi semuanya dalam keadaan kucar-kacir, sekali gus memberi kelebihan kepada pengunjung untuk mengambil gambar dalam keadaan terbalik dengan kepala mereka seakan masuk ke dalam tandas.

Di dapur pula, buah-buahan yang diletakkan di atas meja seolah-olah tergantung manakala di bilik tidur kanak-kanak sebuah kit lumba kereta melekat pada lantai.

Jadi tidak hairanlah, kafe itu menjadi pilihan pengunjung terutamanya yang gemar berselfie supaya kelihatan seperti mereka berdiri di atas siling.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Oktober 2016 @ 5:17 AM