KEADAAN van selepas dirempuh bas ekspres. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Junaidi Ladjana

Kinabatangan: Dua maut selepas van dinaiki mereka dirempuh bas ekspres di Kilometer 111 Jalan Sandakan-Lahad Datu, dekat Kinabatangan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, penumpang van Leen Che Maisal, 20, dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai Ismail, 20, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, siasatan awal mendapati bas ekspres yang membawa 42 penumpang dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian bas dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke lorong kanan dan merempuh bahagian kanan van yang datang dari arah bertentangan.

"Akibat kejadian itu, dua penumpang van berkenaan maut di lokasi kejadian manakala semua penumpang bas ekspres selamat tanpa kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 10:44 AM