pelakon Jehan Miskin bersama tiga motosikal baharu Harley-Davidson.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Naza Prestige Bikes Sdn Bhd, pengimport tunggal motosikal Harley-Davidson di Malaysia menyasarkan jualan keseluruhan 280 unit tahun ini.

Naib Presiden 1 Bersekutunya, Eskandar Esa berkata, sasaran itu selaras dengan pelancaran tiga model baharu iaitu Roadster, Softail Slim S dan CVO Pro Street Breakout dalam memberi lebih pilihan kepada pengguna di negara ini.

“Tiga model baharu ini menerima peningkatan dari segi kapasiti enjin, aksesori tambahan, rekaan pelana baru dan warna khas yang bukan sahaja lebih prestasi dan pada masa sama tampil bergaya,” katanya ketika majlis pelancaran.

Model Roadster dengan kapasiti enjin 1,200cc dilengkapi fork inverted 43mm, brek cakera depan berkembar, posisi menunggang lebih agresif dan selesa, rim lima jejari aluminium dengan saiz 19 inci di hadapan dan 18 inci di belakang antara ciri terkini untuk model dalam barisan Sportster itu.

Manakala Softail Slim S dengan enjin baru 110 Twin Cam Screamin’ Eagle dengan warna bertemakan ketenteraan, lingkaran lampu hadapan baru dan bergaya menjadikan ia kekal dengan gaya ‘iron’ dan dalam masa yang sama berciri lebih moden.

Untuk CVO Pro Street Breakout ia tampil gaya tersendiri serta memberi tunggangan prestasi dengan ciri-ciri baharu termasuk warna lebih bergaya serta pelana dan bar pemegang baru untuk kepuasan menunggang lebih menarik dengan enjin 110 Twin Cam.

Sementara itu, katanya, Harley-Davidson Kuala Lumpur bukan sahaja menjual pelbagai model baharu motosikal, malah menumpukan kepada perkhidmatan selepas jualan yang berkualiti untuk pengguna.

“Komitmen kami memberi perkhidmatan terbaik daripada segi servis, alat ganti dan jualan produk gaya hidup bagi mengekalkan kesetiaan pengguna terhadap jenama ini,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran daripada pengimport motosikal terpakai yang membawa masuk jenama Harley-Davidson ke pasaran tempatan namun mereka yakin dengan jaminan dan khidmat selepas jualan ditawarkan sebagai satu kelebihan untuk terus bersaing dalam industri permotoran di Malaysia.

Eskandar berkata, untuk meningkatkan jualan, pelbagai acara bulanan dirancang termasuk menganjurkan pelbagai aktiviti kepada kumpulan pemilik Harley-Davidson di Malaysia (HOG) dan mengalu-alukan lebih ramai lagi tampil untuk menyertai mereka.

Harga jualan asas model Roadster RM110,000, Softail Slim S (RM160,000) dan CVO Pro Street Breakout (RM210,000).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 7:45 AM