GOLONGAN muda yang menyertai latihan ini dianggap aset penting bagi penduduk Palestin untuk memerdekakan negara mereka.
SEORANG pelatih yang muncul dari terowong rahsia.
SEMAKIN ramai keluarga Palestin di Gaza menghantar anak mereka menjalani latihan dengan Al-Qassam.
LATIHAN diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai persediaan bagi peperangan membebaskan Palestin.
SATU daripada latihan lasak yang diadakan di kem berkenaan.
Agensi

Secara tiba-tiba sekumpulan remaja lelaki muncul dari bawah terowong dan dengan memegang raifal ‘kayu’ , mereka melancarkan `serangan’ mengejut terhadap satu pos tentera Israel.

Inilah situasi yang berlaku di Semenanjung Gaza, wilayah Palestin yang dikepung dan lokasi tiga peperangan dengan Israel sejak 2008.

Bagaimanapun, serangan kali ini hanyalah lakonan.

Golongan muda berusia antara 15 hingga 20 tahun ini sebenarnya menyertai kem latihan musim panas anjuran Briged Ezzedine Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas yang menguasai Gaza.

Bagi Jihad, 16, ini kali pertama dia memasuki terowong bawah tanah berkenaan.

Puluhan terowong bawah tanah ini dianggap Hamas sebagai aset strategik dalam konflik dengan Israel dan biasanya dirahsiakan.

Kumpulan remaja yang berasal dari Shejaiya, sebuah kejiranan yang terjejas teruk dalam perang dua tahun lalu, membuat satu latihan menculik seorang askar Israel.

Di Yarmuk, pangkalan Al-Qassam di timur Gaza, puluhan lelaki muda menuruni sebuah menara setinggi 20 meter dengan menggunakan tali dan sebahagian lagi bergerak melintasi halangan berapi.

Pangkalan itu terletak di kawasan sensitif di sempadan Israel dan Gaza, yang dikuasai Hamas sejak sedekad lalu tetapi dikepung ketat oleh tentera Zionis.

Menurut Al-Qassam, seramai 30,000 remaja diberi latihan asas pertempuran dalam masa seminggu.

Seorang anggota Al-Qassam berkata, golongan muda yang menyertai kem musim panas itu adalah kunci dalam usaha Hamas mempersiap­kan penduduk di wilayah itu menghadapi peperangan membebaskan Palestin.

Seorang lagi pegawai Hamas, Khalil Al-Haya berkata, penduduk Palestin tiada pilihan selain mengangkat senjata.

“Musuh memusnahkan rumah dan mengenakan sekatan dengan harapan penduduk Gaza akan menentang kami (Hamas).

“Namun, penduduk sebaliknya semakin rapat dengan penentangan dan Al-Qassam serta menghantar anak mereka ke kem kami,” katanya.

Kem seperti itu diadakan setiap musim panas tetapi tahun ini Al-Qassam turut membuka pintu beberapa pangkalan mereka untuk penduduk yang berminat.

Seorang remaja berusia 16 tahun memberitahu, bapanya terbunuh dalam serangan bom Israel ketika peperangan pada 2008-2009.

Tiga tahun kemudian, abangnya melancarkan serangan berani mati terhadap tentera Israel.

“Saya menyertai kem ini kerana hanya inilah cara untuk membebaskan negara kami dan saya juga boleh membalas dendam atas kematian bapa serta abang saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:36 AM