BUAH nangka

Nangka dipercayai berasal dari wilayah Ghats, barat India kerana pokok liarnya masih tumbuh dan tersebar di hutan hujan kawasan itu.

Kini nangka tersebar luas dan ditanam hampir di seluruh kawasan tropika dan subtropika terutama di Asia Tenggara.

Nangka berbuah sepanjang tahun, tetapi di Thailand dan India musimnya antara Januari hingga Ogos manakala di Malaysia antara April hingga Disember.

Ditanam menggunakan biji, cantuman mata tunas dan kultur tisu, nangka sejenis pokok sederhana tinggi dan mencapai ketinggian sehingga 20 meter.

Batangnya agak lurus, berwarna perang dan berdahan banyak. Seluruh bahagian pokok bergetah putih. Kulit kayunya kasar, berwarna kelabu gelap atau perang kelabu.

Silaranya (rimbunan daun pada bahagian atas pokok) berbentuk kon ketika muda dan bertukar menjadi rimbunan terbuka apabila matang.

Buahnya berbentuk bulat memanjang berukuran 30 hingga 90sm panjang dan 30 hingga 35sm lebar. Isinya sangat lembut dan banyak serabut kasar.

Di dalam buahnya terdapat biji diselaputi isi yang tebal berwarna kekuning-kuningan atau kemerah-merahan apabila masak dan manis.

Selain dimakan mentah, buah nangka masak juga boleh diproses menjadi kerepek, manakala buah muda boleh dijadikan sayur, gulai atau ulam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 5:01 AM