BANDUAN warga Filipina dilihat di dalam penjara.
BABAK seram pengedar dadah ditemui ditembak mati minggu lalu.
ANGGOTA polis membuka balutan pita pelekat yang dibungkus pada kepala seorang pengedar dadah.
MAYAT suspek dadah berlumuran darah di sebuah jalan di Manila.
PENGGUNA dan pengedar dadah mengambil bahagian dalam senaman selepas secara sukarela menyerah diri.
SEORANG lelaki didakwa terbabit dengan dadah berdiri di atas tiang elektrik ketika pasukan penyelamat cuba memujuknya turun.
ANGGOTA polis menyerahkan sampel air kencing ketika ujian dadah.
Agensi

Hampir 60,000 penagih dan pengedar dadah di Filipina menyerah diri kepada pihak berkuasa negara itu baru-baru ini selepas Presiden Rodrigo Duterte menggesa rakyat saya membunuh mereka.

Duterte yang digelar ‘The Punisher’, memenangi pilihan raya Mei lalu dengan ikrar untuk memerangi dadah.

“Saya beri amaran kepada kamu. Henti menagih atau mengedar. Saya akan bunuh kamu walaupun kamu polis,” katanya ketika berucap di Manila baru-baru ini.

Dalam pada itu, polis mengesahkan membunuh 110 penagih dan pengedar dadah sejak Duterte memenangi pilihan raya 9 Mei lalu.

Bagaimanapun, menurut media tempatan, jumlah itu jauh lebih tinggi, melebihi 400 orang.

Duterte tidak menolak kemungkinan berlaku pertumpahan darah dalam usaha kerajaan menghapuskan kegiatan dadah.

Ketika satu kempen pilihan rayanya, dia berikrar 100,000 akan mati dan sebegitu banyak mayat akan dicampakkan di Teluk Manila hingga ikan di dalamnya akan gemuk kerana memakan mayat itu.

Dia juga memberi jaminan kepada polis bahawa dia akan melindungi mereka daripada tindakan undang-undang jika mereka membunuh pengedar dadah.

Ketika angka kematian rasmi terus meningkat dan mayat lain yang tidak disahkan dibunuh oleh polis dengan kadbod mendakwa mereka pengedar dadah ditemui, peguam hak asasi manusia menyuarakan rasa bimbang mengenai perang terhadap jenayah Duterte yang mereka dakwa sudah tidak terkawal lagi.

Tetapi, dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis minggu lalu, Peguam Negara, Jose Calida bertegas menyatakan polis berhak membunuh penjenayah.

Dia turut menggalakkan polis melakukan lebih banyak pembunuhan ke atas suspek dadah.

“Bagi saya, jumlah itu tidak mencukupi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 12:16 PM