PENGGUNAAN berus dalam solekan dapat membantu hasilkan riasan yang lebih kemas dan menarik.
Susunan Nor Faizah Mohamed
faizah@hmetro.com.my


Solekan yang menarik dan mulus selalunya bermula dengan penggunaan alatan yang betul. Selain menggunakan produk solekan berkualiti, ramai jurusolek dunia mengesyorkan penggunaan berus untuk menata wajah.

Selain lebih bersih berbanding menggunakan tangan, bersolek dengan berus juga membantu mendapatkan hasil riasan yang lebih kemas dan rapi.

Faktor kos bagaimanapun sering membantutkan diri untuk mendapatkan berus yang sesuai. Benar, berus yang berkualiti agak mahal harganya, tetapi ia tahan lama dan tidak memberi kesan rengsa pada kulit.

Di pasaran ketika ini muncul pelbagai jenis berus bagi memenuhi keperluan setiap inci wajah. Justeru, memilih berus yang sesuai dan betul amat penting supaya kegunaannya dapat dimaksimumkan.

Berikut beberapa jenis berus yang biasanya ada dalam simpanan jurusolek dan kegunaannya.

1) Bedak asas

Berus bedak asas kebanyakannya bersaiz tebal, lebar dan panjang. Ketebalan berus mengikut kadar litupan bedak asas pada wajah. Jika gemarkan sapuan bedak asas yang tidak ketara dan tampak semula jadi, gunakan berus satin yang lebih tipis dengan permukaan lebih rata.

Andai litupan tebal jadi pilihan, gunakan berus yang disusun berbentuk kubah atau tirus di kedua-dua penghujungnya. Sapukan bedak asas dengan sapuan berbentuk menegak dan bukan melintang supaya litupan bedak lebih rata tanpa wujudnya garisan halus.

2) Pemerah pipi

Kebanyakan berus pemerah pipi di pasaran ketika ini menggabungkan bulu tulen bersama bulu sintetik lembut. Selain teksturnya yang separa lembut, berus jenis ini turut berperanan sebagai bahan yang boleh memberi kesan urutan pada wajah.

Selalunya, helaian berus membentuk hujung yang lembut, tumpul dan padat sesuai untuk menghasilkan kesan bersinar yang lebih menawan sebaik pemerah pipi disapukan.

Sapukan pemerah pipi di atas tulang pipi menggunakan rona merah jambu semula jadi. Untuk kesan kontur yang menonjol, pemerah pipi rona tanah disapu di bawah tulang pipi.

3) Penyamar cela dan pembayang mata

Berus sama boleh digunakan untuk dua fungsi iaitu penyamar cela dan pembayang mata. Bagaimanapun, atas faktor kebersihan dan demi menjaga kawasan mata yang sensitif, sebaiknya gunakan berus berbeza.

Kebiasaannya, berus penyamar cela bersaiz kecil sementara pembayang mata berbentuk separa bulat bagi memudahkan sapuan pada keseluruhan kelopak mata.

4) Gincu

Berus sintetik antara pilihan terbaik untuk mengoles gincu kerana teksturnya yang sedikit keras memudahkan sapuan kemas. Berusnya kecil dan biasanya berbentuk tirus.

Selepas membuat garisan menggunakan penggaris bibir di sekeliling tepi bibir, sapu dan ratakannya bersama gincu menggunakan berus tirus untuk menampakkan riasan bibir yang lebih cantik dan berdimensi.

5) Meratakan seluruh wajah

Langkah akhir dalam solekan ialah meratakan bedak debu di seluruh wajah. Berus yang kembang dan besar amat disyorkan kerana ia dapat membantu meratakan setiap partikel bedak debu itu.

Berus kabuki juga digunakan secara meluas untuk proses akhir ini. Ia mempunyai batang pemegang pendek dengan bulu padat sementara kepala berusnya berbentuk bulat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:42 AM