PASANGAN pengantin minum dan berehat sebelum memulakan penggambaran.
SETIAP pasangan perlu menahan nafas antara 20 hingga 30 saat.
GAMBAR dirakam Violle di Mexico.
PENGANTIN lelaki seolah menunggu pasangannya bersiap.
SETIAP sesi dilakukan antara lima hingga enam jam bergantung kepada pakej.
VIOLLE gabung kemahiran sebagai jurugambar dan penyelam skuba untuk hasilkan gambar menarik.
Agensi

Seorang jurugambar merakam gambar pengantin dengan cara yang unik di dalam kolam dan gua di Mexico.

Ada pasangan sanggup datang dari seluruh dunia semata-mata mahukan sentuhan Pierre Violle di lokasi indah bagi meraikan perkahwinan mereka.

Violle yang berasal dari Perancis menggabungkan kemahirannya sebagai jurugambar dan penyelam skuba untuk menghasilkan imej unik.

Ia memerlukan pasangan terbabit menahan nafas 20 hingga 30 saat di dalam air bagi setiap gambar.

“Bukannya mudah untuk kekal tenang dan pengantin juga boleh jadi gelisah di dalam air. Hasilnya akan menjadi cukup luar biasa apabila suasana di dalam gua bergabung dengan biasan cahaya matahari, asap serta lampu untuk lebih menghidupkan keadaan,” katanya.

Violle yang dibantu dua rakannya berkata, setiap sesi disesuaikan dengan keupayaan pasangan berkenaan berenang serta cita rasa mereka yang tersendiri.

“Saya sukakan kerja saya. Menghabiskan seharian di lokasi yang menakjubkan seperti ini memang sesuatu yang terlalu istimewa. Saya rasa bertuah.

“Saya sentiasa memberitahu pasangan pengantin yang ia bukan hanya sekadar gambar, sebaliknya mencipta kenangan istimewa dan pengalaman yang tidak mampu diperoleh dengan cara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 10:01 AM