MARWA teruskan tradisi keluarga di Syria dengan hasilkan lebih 30 karya.
MARWA teruskan tradisi keluarga di Syria dengan hasilkan lebih 30 karya.
MARWA teruskan tradisi keluarga di Syria dengan hasilkan lebih 30 karya.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Sejak berusia 10 tahun, gadis kelahiran Syria ini giat memperjuangkan genre seni diberi nama ‘Ajami’ yang menjadi kepakaran ahli keluarganya.

Menurut pelajar ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Marwa Baydoun, 24, keluarganya antara lima pakar di Syria menghasilkan seni berkenaan dan itu antara sebab dia ingin menguasai teknik penghasilannya.

Marwa dan keluarganya yang kini menetap di Malaysia berkata, dia mula berjinak-jinak dalam penghasilan karya Ajami sejak berada Syria kerana sering melihat bapanya menyiapkan kerja di bengkel.

“Membabitkan diri dalam penghasilan Ajami ini menjadi lebih mudah bukan saja bapa saya antara ‘master’ Ajami, tapi kerana saya mempunyai asas melukis.

“Karya seni Ajami adalah lukisan tiga dimensi berasal dari Syria yang unik dengan beberapa lapisan warna berbeza serta memerlukan ketelitian tinggi,” katanya.

Karya Ajami bukan karya seni tiga dimensi semata-mata, namun bercirikan Islamik dan mengetengahkan motif bunga serta geometri selain menyelitkan unsur kaligrafi dan seni khat.

Di Syria, Ajami adalah karya seni agung dan jarang digantung sebagai lukisan kerana biasanya perincian Ajami dilakukan di dinding dan siling rumah.

Marwa berkata, sudah lebih 30 karya Ajami dihasilkan hasil kerja tangan Marwa sendiri dan setiap satu mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

“Setiap hari saya luangkan masa tiga jam di bengkel tanpa mengira waktu. Walaupun dalam keadaan sibuk saya tetap pastikan ada masa.

“Ada masanya saya keletihan dengan jadual waktu kuliah yang padat, namun tiada istilah penat kerana minat dengan apa yang saya lakukan ini,” katanya.

Katanya, dalam kalangan ahli keluarganya dia antara yang terpantas dan paling aktif menyiapkan karya Ajami kerana bukan saja cepat melukis, malah paling cepat meletakkan sebatian gam dan simen di atas lukisan bagi menghasilkan kesan tiga dimensi.

Marwa berkata, selain sibuk menyiapkan karya Ajami dia juga kerap menyertai pertandingan dianjurkan di UIAM bagi memperkenal serta mempromosi hasil seni itu.

“Sejak mula memperkenalkan Ajami di universiti, ramai yang berminat, malah turut ingin belajar tekniknya dan saya cuba membantu mereka sekadar yang mampu.

“Saya turut kongsi teknik kepada rakan yang berminat untuk belajar menerusi penghasilan video bagi memudahkan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:01 AM