PENYERAHAN sumbangan kepada penduduk kampung.
ANTARA selebriti yang menjayakan program.
KANAK-kanak gembira mengikuti aktiviti yang dianjurkan semasa program.
Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my

Islamic Relief Malaysia (IRM) buat pertama kali menganjurkan majlis berbuka puasa bersama masyarakat orang asli kaum Jakun dalam satu aktiviti Kembara Saham Akhirat yang diadakan di Kampung Buluh Nipis, Muadzam Shah, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Program itu bertujuan merasai suasana berpuasa dalam kalangan orang asli di samping merapatkan hubungan di antara kakitangan, sukarelawan IRM dengan masyarakat kampung dan penerima manfaat.

Pada majlis itu, 100 keluarga penerima manfaat dari kawasan sekitar menerima pek bantuan makanan Ramadan Relief yang dijangka mampu menampung keperluan berbuka puasa selama sebulan.

Majlis dimulakan dengan acara gotong-royong membersihkan kawasan kampung membabitkan dewan, surau dan sekitar klinik kesihatan diikuti aktiviti menyediakan juadah berbuka puasa.

Kakitangan dan sukarelawan IRM bertungkus-lumus membantu penduduk kampung menyediakan menu makanan masyarakat orang asli, kesang, yang menjadi tarikan dalam program itu.

Program turut diceriakan dengan aktiviti psikososial yang dikelolakan oleh kakitangan IRM dan tazkirah Ramadan disampaikan penceramah jemputan.

Ketua Bahagian Program dan Bantuan IRM, Kamarul Halim Sakrani berkata, IRM berhasrat meneruskan program seumpama itu pada masa akan datang dengan pembabitan lebih ramai pihak untuk menyumbang dan bekerjasama dengan IRM.

Kembara Saham Akhirat membabitkan dua destinasi penamat peserta konvoi dengan lokasi pertamanya di Kampung Buluh Nipis, Muadzam Shah diikuti lokasi kedua di Rumah Anak Yatim Nur Hidayah, Bukit Gantang, Perak pada 18 Jun lalu dan Majlis Iftar Saham Akhirat di Hotel Bangi-Putrajaya pada 25 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 12:27 PM