TRADISI memperoleh ilmu yang dulunya dilakukan secara sehala atau dua hala kini makin berkembang dengan GOL. - Gambar Google
PERKONGSIAN maklumat kini makin mudah dan tidak terhad kepada masyarakat atau sosiobudaya sama. - Gambar Google
MENERUSI GOL, pelajar mudah memperoleh maklumat yang membantu dalam proses P&P. - Gambar Google
PELBAGAI transformasi bakal menjadi titik tolak dalam melahirkan generasi masa depan berilmu dan mampu memberi atau menerima maklumat tanpa sempadan. - Gambar hiasan
Ruhaiza Rusmin dan Nor Hanisah Kamaruzaman
rencana@hmetro.com.my

Sektor pendidikan negara melangkah ke satu lagi tahap menerusi transformasi pengembangan ilmu tanpa sempadan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Pengenalan Pembelajaran Dalam Talian Tahap Global menerusi Lonjakan Kesembilan adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Pengajian Tinggi meningkat dan melonjakkan proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) ke tahap lebih efektif.

P&P itu juga sebahagian daripada pembaharuan dunia pendidikan negara yang menyasarkan perkongsian ilmu tanpa sempadan.

Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran (Pengajaran Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Datuk Dr Mohamed Amin Embi berkata, transformasi itu bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab perdana globalisasi pembelajaran dalam talian (GOL), sekali gus meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

Menurutnya, langkah itu selaras dengan perubahan global yang mahu melahirkan generasi berilmu hasil kemudahan mengakses ilmu tanpa sempadan daripada pakar terbaik dalam dunia pendidikan.

“Dulu tradisi memperoleh ilmu hanya secara sehala atau dua hala dan tentunya perkongsian maklumat itu tidak menyeluruh.

“Sejajar dengan perkembangan pembelajaran dalam talian, proses P&P turut berubah dan akses maklumat makin meluas dan mudah.

“Perubahan dan kemudahan ini memberi kelebihan kepada semua pihak terutama pelajar, guru, pensyarah, ahli akademik atau sesiapa saja untuk berkongsi ilmu atau kepakaran,” katanya.

Dr Mohamed Amin berkata, GOL juga dapat menyediakan penyampaian kursus yang cekap, membina jenama pendidikan negara dan meningkatkan kecemerlangan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Menjadi IPT bermaksud mereka juga menjadi sandaran negara untuk membangunkan pelbagai ilmu selaras dengan kepakaran masing-masing.

“GOL boleh membantu merealisasikan hasrat itu khususnya dalam bidang tujahan dan kepakaran.

“Perkongsian menyampaikan maklumat tidak hanya terhad kepada masyarakat atau sosiobudaya sama tapi meluas tanpa kekangan,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pembelajaran dalam talian, pelajar akan memperoleh manfaat daripada penggunaan pelbagai prasarana siber, antaranya MOOC (Kursus Terbuka Dalam Talian Secara Besar-Besaran).

“MOCC ialah kursus dalam talian membabitkan penyertaan interaktif secara besar-besaran dan akses terbuka melalui laman web.

“Selain bahan kursus tradisional seperti video, bahan bacaan dan set masalah, MOOC juga menyediakan forum pengguna interaktif yang membantu membina masyarakat kepada pelajar dan tenaga pengajar.

“Kaedah ini relevan dengan keperluan global selain memudahkan mana-mana pihak melakukan perkongsian atau mengakses maklumat dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata, MOCC juga boleh digunakan untuk menjelaskan konsep asas dan pemahaman dalam sesuatu bidang.

“Lebih menarik, semua kursus ini adalah percuma dan hanya perlu memperuntukkan masa sesuai untuk mengaksesnya,” katanya.

Kandungan, bahan pembelajaran online perlu berkualiti

Kunci utama kepada kejayaan pembelajaran secara dalam talian (online) ialah menyediakan kandungan dan bahan pembelajaran berkualiti kepada pelajar.

Presiden merangkap Naib Canselor Open University Malaysia (OUM), Prof Datuk Dr Mansor Fadzil berkata, faktor itu perlu diambil kira ketika menyediakan pembelajaran secara dalam talian.

“Sebagai contoh sistem dalam talian OUM menyediakan modul dalam bentuk pdf, video kuliah, kuiz, FAQ, tugasan serta penghubung kepada rujukan perpustakaan,” katanya.

Beliau berkata, selain menawarkan bahan berkualiti, pedagogi (kajian mengenai pengajaran) juga perlu dititikberatkan.

“Sistem pembelajaran dalam talian yang bagus perlu ada e-tutor atau tenaga pengajar online yang mampu merangsang dan menggalakkan pelajar lebih selesa dengan sistem itu,” katanya.

Katanya, pembelajaran secara dalam talian perlu lebih menarik dan mesra pengguna bagi memastikan pelajar selesa, mudah diakses dan tidak membosankan.

“OUM kini memapankan sistem pembelajaran dalam talian dengan melancarkan myINSPIRE, baru-baru ini. Kandungan dan data boleh diakses bukan saja menerusi komputer, malah melalui telefon pintar dan tablet.

“Ia sekali gus membawa pembelajaran secara dalam talian ke tahap lebih baik. Untuk menjadikannya lebih menarik, OUM turut menyediakan sistem permainan bagi memastikan pembelajaran lebih menyeronokkan,” katanya.

Dr Mansor berkata, sejarah pembelajaran dalam talian di Malaysia bermula pada 1999 dan OUM sudah menggunakannya ketika penubuhannya pada 2000.

Namun, katanya, kaedah berkenaan lebih serius digunakan pada 2008 dan kini kebanyakan universiti awam dan swasta sudah menyediakan pembelajaran secara dalam talian.

Katanya, sistem dalam talian yang direka dan disusun dengan bagus mampu menawarkan kualiti pembelajaran lebih baik atau setanding teknik pembelajaran konvensional.

“Kaedah pembelajaran dalam talian yang bagus bukan saja mempunyai kandungan dan pedagogi berkualiti, malah memberi inspirasi, mempromosi serta menggalakkan pelajar.

“Di OUM kami menyediakan kuliah maya (virtual) di mana tenaga pengajar boleh mengatur kelas berkenaan sekali seminggu.

“Dengan adanya kuliah maya, pelajar dapat bersoal jawab dengan tutor dan mendapat respons secara langsung berbanding ruang forum yang memberi respons dalam jangka masa 24 jam,” katanya.

Lebih menarik, setiap sesi kuliah direkod dan ia membantu pelajar membuat ulang kaji manakala mereka yang tidak dapat ‘hadir’ ketika kuliah berlangsung boleh menjadikannya sebagai pengganti interaksi bersemuka.

Dr Mansor bagaimanapun berkata, antara kelemahan pembelajaran dalam talian ialah pelajar terasa kesunyian, namun mereka dapat mengatur perjumpaan atau mengadakan kelas jika berkesempatan.

“Di OUM, kami kini menawarkan program pengajian sepenuhnya secara dalam talian dan program pengajian campuran iaitu gabungan dalam talian dan konvensional.

“Pelajar boleh memilih mana yang sesuai. Antara sebab kami tawarkan pengajian dalam talian sepenuhnya adalah untuk memenuhi kehendak pelajar yang bekerja dan tidak dapat hadir kuliah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:02 AM