Fatin Fazlina Yaakob
am@hmetro.com.my

Georgetown: Cubaan seorang lelaki menyembunyikan rokok seludup bernilai hampir RM70,000 dalam stor terbongkar apabila Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mengesan dan merampas rokok berkenaan di sebuah kedai runcit di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah, malam kelmarin.

Dalam Op Landai jam 9 malam itu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun yang mendakwa sebagai pengurus kedai runcit terbabit turut ditahan.

Timbalan Komander PPM Wilayah 1 Superintendan Dimin Awang berkata, pihaknya turut merampas 125,360 batang rokok seludup dan operasi dilakukan hasil risikan serta maklumat orang ramai.

“Hasil pemeriksaan awal, kita mendapati rokok berkenaan diseludup dari negara jiran dan dijual secara sembunyi kepada warga asing dan penduduk sekitar.

“Selain itu, siasatan mendapati lelaki yang ditahan terbabit turut mengaku menyimpan serta menjual rokok-rokok seludup berkenaan di stor kedai runcit berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Dimin berkata, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan kedai runcit yang sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu itu mempunyai rangkaian sindiket penyeludupan rokok.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan Dimin berkata, pihaknya turut merampas 14,600 batang rokok seludup bernilai RM7,376.04 yang disembunyikan di belakang sebuah rumah terbengkalai di Jalan Utama, Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah semalam.

Menurutnya, hasil pemantauan pihaknya menemui beberapa kotak dan bungkusan yang ditutup jaring hitam di belakang rumah itu serta pemeriksaan mendapati ia mengandungi pelbagai rokok seludup.

“Polis percaya semua rokok itu ditinggalkan di kawasan berkenaan oleh sindiket dan ia kemudian akan diambil pembeli.

“Namun selepas menunggu hampir dua jam tiada sesiapa datang untuk mengambil bekalan rokok terbabit dan kita percaya kemungkinan ahli sindiket sudah mengesan kehadiran kami,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan pihaknya akan terus memantau serta memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok.

Dalam perkembangan lain, Dimin berkata 16 warga Myanmar berusia 20 hingga 50 tahun ditahan secara berasingan pada 13 dan 14 Jun lalu di perairan Lumut dan Kuala Gula, Perak kerana tiada dokumen perjalanan diri serta bekerja tanpa permit yang sah.

Katanya, empat daripada mereka yang ditahan bekerja sebagai penjaga sangkar ikan di Kuala Gula manakala selebihnya di atas empat buah bot nelayan tempatan di perairan Lumut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 9:52 AM
DIMIN (dua dari kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada rokok yang dirampas.