CHRISINE (baris ketiga duduk tengah) dan Mohamad Razeef (duduk depan tujuh dari kiri) bersama peserta ARA 2016.
AKSI peserta sepanjang pertandigan berlangsung.
Siti Farahiyah Aziz
Gen.y@hmetro.com.my


Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjadi tuan rumah pertandi­ngan animasi pertama di Malaysia, Anugerah Asiagraph Reallusion (ARA) 2016 (pusingan kelayakan UiTM) yang membabitkan lebih 60 kumpulan.

Pertandingan anjuran Program Penyiaran, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM dengan kerjasama Medianetic Sdn Bhd dan Reallusion Inc dari Taiwan itu disertai pelajar animasi dari universiti awam serta swasta tempatan.

Turut hadir Pengurus Perniagaan Reallusion Inc Christine Hsiang dan Koordinator Program Komunikasi Media Baharu UiTM Mohamad Razeef Shah Mohmad Rafik.

Mohamad Razeef berkata, program yang berlangsung selama 48 jam itu mengkuarantinkan pelajar di dalam Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM bermula 31 Mei hingga 2 Jun.

“Pemenang di peringkat kebangsaan ini akan mewakili Malaysia ke pertandingan Asiagraph Reallusion Award 2016 yang akan diadakan di Taiwan pada Ogos 2016.

“Format pertandingan ini adalah setiap kumpulan terdiri daripada tiga pelajar dan mereka perlu me­nyiapkan sebuah animasi pendek berdurasi lima minit dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

Selain itu, dengan menggunakan perisian iClone 6 (3D software) pelajar juga mesti mengikuti tema yang sudah ditetapkan iaitu ‘Love & Life’.

Mohamad Razeef berkata, pertandingan itu juga pengenalan kepada program baru pengajian Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu di fakulti berkenaan yang akan diperkenalkan pada Mac 2017.

“Saya juga merancang mengadakan pertandingan video animasi ini setiap tahun dan berpusat di UiTM Shah Alam.

“Ini kerana penggunaan animasi bukan saja membabitkan permainan, ia boleh menjadi cerita yang menarik,” katanya.

Menurutnya, ini juga antara langkah menarik minat golongan muda berkecimpung dalam dunia animasi.Sementara itu, Christine berkata, ini adalah pertandingan pertama kali yang diadakan di Malaysia sejak lima tahun ia diwujudkan.

“Penyertaan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di sini amat menggalakkan dan luar biasa kerana berjaya mengumpulkan 60 kumpulan.

“Walaupun ini pertandingan video animasi tapi mereka perlu sentiasa bekerjasama antara satu sama lain bagi menghasilkan video yang baik,” katanya.

Menurutnya, dua kumpulan yang layak ke Taiwan pada Ogos ini akan mendapat tajaan penuh daripada pihaknya.

Video berkenaan dinilai berdasarkan kriteria tertentu termasuk penceritaan, kemahiran, penyuntingan dan hasil akhir.

PERSEDIAAN SEBELUM PERTANDINGAN

Peserta, Nurasyikin Kamilin, 23, berkata, dia bersama dua lagi rakan menyahut cabaran menyertai ARA 2016 walaupun masing-masing hanya mengetahui asas perisian iClone 6.

“Selepas membuat keputusan menyertai pertandingan ini, kami mula mengambil alternatif menyertai kelas tambahan khusus mengenai animasi selepas waktu kuliah.

“Selain itu, sepanjang tempoh pertandingan, kami juga berdepan dengan masalah komputer riba yang tidak berfungsi secara tiba-tiba.

“Keadaan ini sangat menguji kami kerana kebarangkalian bahan yang sudah dibuat pada awalnya akan hilang,” katanya.

Menurutnya, dari segi pengurusan masa, dia dan rakan merasakan tempoh 48 jam itu sangat mencukupi bagi menghasilkan video animasi berdurasi lima minit.

“Ini kerana setiap ahli kumpulan akan memainkan peranan masing-masing dan bukannya hanya bergantung kepada seorang saja.

“Kami juga sudah membahagikan tugasan yang mana membabitkan elemen animasi, sudut dan suntingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 12:33 PM