PAGAR surau turut dibina bagi mengelakkan dimasuki anjing liar.
SMART solat menarik minat kanak-kanak Orang Asli.
SEBAHAGIAN sukarelawan sibuk memasang lantai surau daripada papan lapis bagi menggantikan lantai lama daripada batang buluh.
SERAMAI 35 sukarelawan Muslim Care Malaysia berjaya membina surau baharu di Perkampungan Orang Asli Kampung Selaor, Gerik.
D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my

Membantu umat Islam lain supaya dapat beribadat dengan sempurna seperti bersolat Tarawih menjadi tanggungjawab bersama kerana amalan mulia ini bukan saja dijanjikan ganjaran besar, tetapi juga dapat meninggikan syiar Islam.

Bagi golongan yang baru memeluk Islam seperti masyarakat Orang Asli, bantuan dan bimbingan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan mereka beristiqamah menjalankan ibadat seperti solat dan puasa.

Dakwah bil-hal atau secara bantuan fizikal terhadap golongan ini wajar dilakukan terutama mereka yang tinggal jauh di pedalaman yang kebanyakannya kekurangan kemudahan asas dan sukar mendapatkan sumber ilmu.

Atas kesedaran ini, sekumpulan 35 sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) meredah hutan belantara selama lima jam ke perkampungan Orang Asli Kampung Selaor di puncak Titiwangsa di sempadan Perak dan Kelantan untuk membina surau dan kemudahan asas di kampung itu.

Sukarelawan melalui trek lori balak menempuh pelbagai halangan seperti jalan berbukit, licin dan berbatu selain terpaksa mengharungi anak sungai yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

Mereka bertolak seawal jam 7 pagi dari Masjid Jamek Gerik ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Puncak Titiwangsa di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli selama lebih sejam bagi melaksanakan misi itu beberapa hari menjelang Ramadan baru-baru ini.

Program julung kali MCM ke perkampungan itu diadakan selama tiga hari dua malam dengan Misi Dakwah Orang Asli bertemakan ‘dakwah santun dengan kasih sayang’ dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) disertai pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan pelajar Giat MARA Gerik, Perak.

Ketua MCM Abdul Razak Mohamed berkata, pihaknya terpanggil untuk membantu 80 Orang Asli daripada 25 keluarga di situ terutama yang sudah 95 peratus memeluk Islam bagi memastikan mereka dapat menjalani Ramadan dengan sempurna.

“Misi kami ini sempena Ramadan supaya Orang Asli di perkampungan ini dapat berpuasa, bersolat Tarawih dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya meskipun mereka memeluk Islam sejak lima tahun lalu.

“Kami membina sebuah surau baharu bagi menggantikan surau lama yang dibina lima tahun lalu yang sudah terlalu uzur serta hampir roboh kerana diperbuat daripada buluh dan batang kayu hutan,” katanya.

Menurutnya, surau baharu itu meskipun berdinding buluh, tiangnya separuh simen, lantai daripada papan lapis dan atap zink yang lebih kukuh, selesa dan selamat untuk digunakan terutama untuk solat sunat Tarawih berjamaah.

Abdul Razak berkata, sepanjang misi itu mereka turut membina tandas awam serta menjayakan program ‘smart solat’ untuk kanak-kanak dan dewasa iaitu mengajar cara bersolat dengan betul dan menunjuk cara memakai telekung.

“Kami mengagihkan telekung, pakaian, sejadah dan kopiah selain membekalkan buku panduan solat bergambar dan al-Quran terjemahan supaya mereka dapat beribadat dengan betul,” katanya.

Sukarelawan, Nurhidayu Abdul Kadir, 21, dari UPM teruja menyertai misi dakwah kelima itu sejak menyertai MCM, setahun lalu.

Katanya, tugasnya bukan saja memasak untuk penduduk Orang Asli tetapi turut menyampaikan keperluan dapur seperti beras, gula, tepung dan susu kepada 25 keluarga termasuk beberapa keluarga yang belum Islam.

“Saya juga mengajar kanak-kanak dan wanita cara bersolat dan membaca al-Quran terutama al-Fatihah selain menunjuk cara bagaimana mengambil wuduk dengan betul.

“Saya puas menyertai misi ini kerana bukan saja dapat berbakti tetapi menambah pengalaman kaedah berdakwah selain mengukuhkan pegangan akidah,” kata pelajar Tahun Dua Pengajian Bahasa Jerman di UPM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 12:31 PM