PENGARAH Jabatan KDNKA Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim (kanan) bersalaman bersama tetamu yang hadir pada Majlis perasmian ibu pejabat polis daerah Kuala Pilah. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my


Kuala Pilah: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti kuarters untuk diubahsuai dan dinaik taraf berikutan keadaannya yang tidak mempunyai kelengkapan lengkap dan kurang selesa kepada anggota.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, pengubahsuaian itu membabitkan kuarters yang mempunyai dua bilik dan uzur yang tidak sesuai dihuni anggota buat masa ini.

Menurutnya, kaedah itu lebih menjimatkan dan hanya memerlukan jangka masa pendek untuk siap dan dapat menampung keperluan pegawai dan anggota di kawasan tertentu.

"Proses ubahsuai yang dilakukan bertujuan menjadikan rumah yang sebelum ini hanya mempunyai dua bilik kepada tiga atau empat bilik iaitu dengan mencantumkan dua unit rumah dua bilik menjadi satu unit. Rumah itu akan menjadi lebih luas dan selesa.

"Kita memahami masalah perumahan dihadapi pegawai dan anggota yang bernaung di bawah KDNKA kerana untuk mereka menyewa di luar atau membeli rumah sendiri memerlukan kos tinggi,"katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 2:38 PM