HANYA sekali-sekala tampil buat persembahan bersama.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


Pasangan Akim Ahmad dan Ummu Syaikhah Stacy Anam atau Stacy meluahkan rasa teruja dan bangga apabila dipilih mengisi slot hiburan sempena Aidilfitri di TV1.

Akim, 25, berkata, program Kimcy & The Majistret Lebaran 2016 yang menjalani proses rakaman Jumaat lalu adalah acara pertama membabitkan mereka selepas berkahwin pada 5 Februari lalu.

“Apabila ditawarkan slot ini, ia satu penghargaan buat saya dan isteri. Apatah lagi, ini program besar pertama yang menggabungkan kami dalam satu persembahan. Sebelumnya sekadar menjadi penyanyi jemputan.

“Saya anggap program ini rezeki selepas berkahwin dan berharap ia akan berterusan. Pada masa sama, gabungan kami ini sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjaya saya dan isteri,” katanya.

Membawakan nama Kimcy singkatan daripada Akim dan Stacy, penyanyi umpulan Akim & The Majistret ini bagaimanapun tidak bercadang menjadikan ia sebagai satu jenama.

Menurut Akim, dia dan Stacy masih perlu fokus kepada kerjaya nyanyian masing-masing.

“Kami sendiri terkejut apabila ada pihak mewujudkan kelab peminat yang dikenali sebagai Kimcy. Walaupun tidak mengetahui siapa mereka, kami tetap berterima kasih.

“Namun, buat masa sekarang kami belum ada sebarang perancangan untuk bergerak secara duet. Tumpuan kami masih kepada kerjaya nyanyian masing-masing. Saya bersama The Majistret dan Stacy dengan karier solonya.

“Perancangan menghasilkan lagu duet itu ada. Insya-Allah, ia akan dipersembahkan dalam album keempat Stacy yang kini dalam proses mengumpul material,” katanya.

Sependapat dengan suaminya, Stacy, 26, lebih selesa untuk tidak bersikap tamak dengan menerima setiap tawaran yang menginginkan mereka tampil bersama di pentas.

“Memang banyak tawaran membuat persembahan yang mahu kami menyanyi bersama.

“Sejauh mana keselesaan saya, ia bergantung kepada keadaan. Pada masa sama, tidak boleh terlalu kerap.

“Bukan apa, saya tidak mahu terlalu menunjuk-nunjuk hingga membuatkan peminat bosan dan menyampah. Paling penting saya tidak mahu timbul cakap-cakap mengatakan kami sengaja mengambil kesempatan di atas nama kami,” katanya.

Berkongsi mengenai program Kimcy & The Majistret Lebaran 2016, ia bakal ditayangkan pada malam raya di TV1.

Program ini menampilkan Akim dan Stacy bergabung bersama kumpulan The Majistret dalam menyampaikan lagu popular mereka.

Antaranya Bosan, Not For Sale, Pelangi Senja, Gilalah dan Romeo, manakala lagu Akim & The Majistret terdiri daripada Terlalu Mudah, Sisaku, Obses, Mewangi serta Potret.

Menariknya, penonton juga berpeluang mendengar sebuah lagu yang digabung atau ‘mash up’ berjudul Dunia Aku Stacy.

Selain itu, Akim dan Stacy turut menyampaikan beberapa lagu duet pilihan mereka seperti Gelora, Ku Pendam Sebuah Duka dan With Or With Out You.

Pada penghujung rancangan, penonton disajikan rangkaian lagu raya berjudul Seloka Hari Raya dan Selamat Hari Raya.

Bagi memeriahkan acara, program ini juga menampilkan persembahan daripada finalis Bintang RTM 2016 yang terdiri daripada Rosario, Eryn dan Eeza.

Tidak ketinggalan dua kumpulan anak muda yang sedang mencipta nama iaitu Aduqa dan Cherpen Band.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 5:40 AM