MASALAH anak enggan ke sekolah pastinya membimbangkan ibu bapa.
Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my

Meronta tidak mahu ke sekolah, ada pula yang memberikan alasan klise seperti sakit perut atau demam manakala ada tidak mahu bangun apabila dikejutkan.

Situasi itu pasti membimbangkan ibu bapa terutama apabila ia terjadi kepada anak sulung yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan sama ada ke prasekolah mahupun tahun satu.

Mereka mungkin takut atau rasa tertekan untuk ke sekolah disebabkan pelbagai masalah di sekolah. Kadangkala ada segelintir ibu bapa mengambil ringan tekanan si anak, namun ia bukan saja menjejaskan emosi kanak-kanak terbabit malah boleh menjejaskan kesihatan mereka misalnya sering sakit kepala atau sakit perut.

Pasti ada sebab si kecil anda tidak mahu ke sekolah. Mereka mungkin tidak sukakan guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu dan bapa dan pelbagai alasan lain.

Sebagai ibu bapa, anda perlu selidiki punca masalah dan carilah jawapannya.

Berikut enam langkah yang boleh diikuti ibu bapa yang mempunyai masalah anak enggan ke sekolah:

1. Seelok-eloknya sebelum sesi persekolahan bermula, anda sudah mendedahkan kepada anak dengan cerita mengenai sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia. Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah seperti ada ramai kawan, guru yang baik dan adanya taman permainan di sekolah.

2. Ibu bapa perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali di sekolah kerana emosi kita juga banyak mempengaruhi emosi anak.

3. Cuba berfikiran positif dan elak daripada menunggu anak di dalam kelas terlalu lama kerana menunggu terlalu lama akan hanya menyukarkan proses penyesuaian si anak.

Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke tadika atau sekolah walaupun dia menangis. Jangan terlalu bimbang kerana biasanya anak akan diam selepas ibu atau bapa mereka pulang.

4. Pastikan juga kita tidak lewat mengambil anak pulang dari sekolah atau tadika terutama pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak berasa takut apabila melihat kawan sudah pulang, namun mereka masih menunggu.

5. Beri ganjaran kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranyanya dia rajin ke sekolah. Bagaimanapun, elak daripada mengumpan anak dengan hadiah atau mainan yang mahal. Teruslah menghantar anak ke tadika atau sekolah secara konsisten. Tidak konsisten akan melambatkan proses penyesuaian.

6. Buat kerja rumah dan ulang kaji bersama mereka. Tanya mengenai aktiviti, kawan di sekolah dan seumpamanya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 5:00 AM