Kapten Gennaro Riccardi dari jabatan polis Carabinieri , Itali, menunjukkan ubat dadah digunakan jururawat yang ditahan kerana disyaki membunuh 15 pesakit. - Foto EPA
AP

Milan: Polis Itali menahan seorang jururawat wanita hari ini, kerana disyaki membunuh 15 pesakit berusia antara 60-an hingga 80-an yang dijadual menjalani pembedahan di sebuah hospital kerajaan di Tuscany.

Hampir semua pesakit mati ketika pembedahan dan siasatan mendapati tahap anticoagulant dalam darah mereka 10 kali ganda lebih tinggi berbanding dos dibenarkan.

Polis memulakan siasatan Jun tahun lalu, selepas mendapati ada yang tidak betul dengan jabatan bius hospital di Piombino, kira-kira 70 kilometer dari Florence itu. Kematian itu berlaku antara 2014 hingga 2015.

Jururawat berusia 55 tahun itu hadir dalam semua pembedahan membabitkan kematian dan dia dipindahkan ke jabatan lain apabila siasatan bermula. Dia ditahan di rumahnya di Pisa, hari ini.

Polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu dan jururawat berkenaan yang bertugas di jabatan bius sejak 20 tahun lalu, pernah dirawat kerana masalah tekanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 7:00 PM