Nabil Basaruddin
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia dijangka menjadi hab global bagi industri aeroangkasa selain sektor baharu bagi pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan dengan sasaran sumbangan perolehan bernilai RM55.2 bilion menjelang 2030.

Antara segmen yang berpotensi menjadi penyumbang utama perolehan berkenaan meliputi bahagian penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dengan jumlah RM20.4 bilion serta RM21.2 bilion untuk pembuatan pengeluaran produk aeroangkasa manakala RM13.6 bilion bagi perkhidmatan reka bentuk dan kejuruteraan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sektor aeroangkasa adalah sektor bernilai tinggi dalam ekonomi pelbagai negara yang berkembang pesat dengan perolehan pada 1998 sebanyak RM0.9 bilion kepada RM11.8 bilion pada 2014.

“Bagi memastikan pertumbuhan konsisten industri ini, kerajaan memperkenalkan Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa 2030 tahun lalu yang berperanan menjadikan ia sebagai sektor berteknologi tinggi bagi menyokong kitaran industri aeroangkasa seiring industri pengangkutan udara yang semakin meningkat naik.

“Pelan tindakan ini juga berperanan menjadikan Malaysia sebagai hab utama aeroangkasa bagi rantau Asia Tenggara, sekali gus meletakkan negara sebagai pemain utama global pada 2030 serta berpotensi menyediakan lebih 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya pada majlis pelancaran Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dzulkifli Mahmud, Pengerusi MATRADE Datuk Noraini Ahmad dan Presiden Sementara MAIA Naguib Mohd Noor.

Tahun lalu, industri aeroangkasa tempatan merekodkan jumlah dagangan keseluruhan berjumlah RM14.2 bilion dengan peningkatan memberangsangkan sebanyak 44.7 peratus bagi segmen eksport komponen dan bahagian komposit, sistem komunikasi aeroangkasa, kipas pesawat dan rotor (RM4.2 bilion) berbanding RM2.9 bilion pada 2014.

Sementara itu, bagi segmen import sedikit menurun iaitu 33.5 peratus daripada RM15.1 bilion kepada RM10 bilion bagi tempoh yang sama dan antara import yang terbabit adalah pesawat, bahagian pesawat serta helikopter.

Mustapa berkata, walaupun terdapat peningkatan menggalakkan dalam eksport, namun jumlah import masih lebih besar berbanding eksport negara dan ia memerlukan tumpuan pelbagai pihak kepada membina kapasiti pengeluaran pembekal tempatan dan seterusnya membantu meningkatkan eksport dan merapatkan jurang dagangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 6:54 AM