FOTO Mohd Yusni Ariffin
Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my

Bachok: Kementerian Pendidikan bersedia menurunkan kuasa kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyelesaikan beberapa isu di peringkat itu.

Ini termasuk masalah disiplin murid dan pelajar seperti buli.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tindakan itu bagi membolehkan masalah diselesaikan segera tanpa kerenah birokrasi.

"Kita sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) sesuai yang mana boleh diselesai di peringkat PPD, kemudian dipanjangkan ke JPN.

“Kita menurunkan kuasa sedikit kepada mereka untuk penyelesaian segera," katanya dalam sidang media di SMK Pak Badol, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan sambutan jubli emas sekolah itu dan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Mengenai kes buli yang dilapor membabitkan murid tahun dua dan tiga sekolah di Klang, kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk siasatan.

"Kita akan ikut apa keputusan siasatan polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 2:11 PM