PEGAWAI forensik mengumpul bukti di tempat kejadian, semalam.
Oleh Mohd Hilmi Mahmud
am@hmetro.com.my


Bayan Lepas : Tindakan seorang lelaki menggunakan mercun untuk memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Tun Dr Awang, di sini, gagal apabila peronda polis tiba di lokasi kejadian sejurus menerima aduan orang awam yang mendengar bunyi letupan, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 pagi, suspek yang menaiki kereta berwarna putih dipercayai menggunakan objek keras untuk memecahkan cermin pintu masuk bank berkenaan tanpa menyedari ia tidak berkunci.

Suspek meluru ke dalam bank dan membaling mercun ke arah mesin ATM di situ sebelum cuba mengumpil mesin berkenaan, namun gagal berikutan pasukan peronda polis tiba ke tempat kejadian.

Menyedari keadaan itu, suspek melarikan diri tanpa sempat membuka pintu mesin ATM berkenaan.

Suspek yang lengkap bertopeng, berbaju gelap lengan panjang dan bersarung tangan itu melarikan diri selepas dikejar anggota polis peronda.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin berkata, suspek berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di bank terbabit.

“Selepas melihat rakaman CCTV, polis mendapati suspek bergerak seorang diri dan meletakkan keretanya di Jalan Tun Dr Awang bagi memudahkannya melarikan diri.

“Dia memakai pakaian gelap dan lengkap bersarung tangan bagi mengelak meninggalkan kesan cap jari pada mesin ATM berkenaan,” katanya ditemui di tempat kejadian.

Lai berkata, siasatan awal mendapati hanya penutup hadapan mesin ATM berkenaan saja diumpil dan suspek tidak sempat membuka pintu keselamatan mesin ATM itu.

“Mesin ATM berkenaan hanya mengalami kerosakan pada bahagian penutup pintu hadapan saja dan ia masih boleh digunakan untuk sebarang urusan.

“Kami menjejak suspek menggunakan visual daripada rakaman CCTV di bank berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 8:27 AM