Jurulatih trek basikal, John Beasley (tengah) bersama Fatehah Mustapa (kiri) dan Azizulhasni bersama pingat gangsa keirin dimenangi Azizulhasni pada kejohanan dunia di London. FOTO NSTP/OSMAN ADNAN

Sepang: Jaguh berbasikal trek negara Azizulhasni Awang yang layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan, memasang impian meraih pingat emas di temasya itu.

Azizulhasni yang mengakui semakin matang dalam perlumbaan berbasikal dunia selepas tiga kali beraksi pada Olimpik, berkata beliau kini di tahap terbaik.

Dia berharap dapat membawa pulang pingat pada temasya empat tahun sekali itu.

"Usia saya sudah lewat 20-an. Ini Sukan Olimpik ketiga buat saya dan bekerja keras sejak awal untuk layak. Tidak seperti sebelum ini, saya perlu kumpul mata untuk ke Rio," katanya hari ini.

Azizulhasni, 28, ditemui selepas majlis pengumuman rasmi layak ke Sukan Olimpik Rio oleh penajanya, Yayasan Sime Darby berkata dia fokus membuat persiapan ke sana.

Pelumba kelahiran Terengganu itu melayakkan diri dalam acara keirin di Rio selepas mencatat kedudukan teratas dalam kalangan pelumba Asia.

Azizulhasni berkata sebelum ini beliau sedih kerana gagal menempah slot ke Rio acara pecut namun selepas berbincang dengan jurulatih John Beasley serta pengurusan pasukan, dia yakin itu adalah keputusan terbaik baginya.

"Memang sedih tidak layak acara pecut tetapi bila lihat dari sudut positif, acara keirin memang saya lebih berpeluang membawa balik pingat. Mungkin ada baik buruknya tidak layak dalam acara pecut," katanya.

Azizulhasni berkata dalam tempoh kira-kira 20 minggu sebelum Sukan Olimpik Rio bermula, beliau percaya dapat meningkatkan prestasi menghadapi temasya sukan terbesar di dunia itu.

Pada masa sama semangat pelumba trek wanita elit negara, Fatehah Mustapa mengejar kejayaan pada Sukan Olimpik juga masih kental.

Fatehah berkata semangatnya semakin membara apabila melihat kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa pada kejohanan dunia itu.

"Melihat Azizulhasni menang pingat di London membuatkan saya semakin bersemangat untuk mencatat kejayaan. Saya percaya sebelum bermula Sukan Olimpik, segala kecederaan yang dialami akan sembuh”. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 6:54 PM