AZWAN (kiri) dan Nik Saiful Adli (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@hmetro.com.my


Kota Bharu: Mahkamah Tinggi Kota Bharu di sini, hari ini, memerintahkan pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membayar ganti rugi sebanyak RM80,000 kepada Timbalan Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan berhubung artikel berunsur fitnah yang diedarkan menerusi e-mel, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bache mengarahkan defendan, Dr Zukeri Ibrahim, 44, membayar ganti rugi itu termasuk kos RM10,000 kepada plaintif Dr Khairul Azhar Mat Daud, 43.

Mahkamah turut mengarahkan defendan membuat permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif di dua akhbar tempatan.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan plaintif sebagai bekas Timbalan Dekan dan kesan yang dialami plaintif selepas penyebaran artikel yang mengandungi 11 pernyataan fitnah terhadap plaintif.

Artikel itu kemudian disebarkan kepada kakitangan UMK pada 29 Oktober 2014 melalui email yang dikirim daripada alamat zukeri@umk.edu.my.

Pada 27 November 2014, Khairul Azhar memfailkan saman terhadap Zukeri kerana mendakwa difitnah menerusi artikel bertajuk senarai penipuan dan salah laku.

Plaintif diwakili peguam bela, Nik Saiful Adli Burhan@ Jaohari dan Azwan Mat Hussain. Manakala, defendan diwakili peguam Hisham Fauzi dan Intan Nadhirah Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 6:56 PM