Menggabungkan tiga elemen utama iaitu Inggeris, Bali dan jati menyerlahkan krea­tiviti Noorazaini Ahmad membina dekorasi kediamannya.

Pemilik kediaman rumah teres setingkat di Taman Satria Senawang, Negeri Sembilan itu mengakui usahanya menggabungkan tiga elemen itu untuk memastikan dia tidak mudah jemu menikmati keindahan dekorasi sendiri.

Di ruang tamu, Noorazaini memilih ala Inggeris dan Bali manakala di ruang tengah, beranda dan dapur menggabungkan jati dan Bali sementara di luar rumah penuh dengan suasana kehijauan dan pohon bunga.

"Konsep ala Inggeris sering menjadi pilihan, tetapi saya tidak mahu hanya tertumpu kepada satu konsep, sebaliknya cuba menggabungkan pelbagai bagi menampilkan keunikan dan keindahan.

"Saya perlu teliti dari segi pemilihan perabot, barang hiasan dan susunan bagi disesuaikan dengan adunan warna dinding rumah supaya tidak berserabut," katanya.

Dia menggunakan setiap ruang dengan menyusun perabot, selain kemasan dan aksesori yang sesuai dengan ketiga-tiga elemen itu.

"Sebelum ini, saya lebih menjurus kepada konsep Bali, tetapi ia kurang ceria berbanding gaya Inggeris," katanya yang mendapat sokongan suaminya, Ahmad Azizan Abd Talib.

Menurutnya, penonjolan warna jingga dengan putih atas dasar keserasian dua warna itu dengan keemasan dan aksesori rumah yang mengenakan latar warna gelap, begitu terserlah.

"Jingga dan putih memiliki keupayaan memantulkan cahaya bagi membantu ruang tampak lebih lapang dan berangin," katanya.

Memperincikan keunikan dekorasinya itu, ia bermula daripada kerja pengubahsuaian kediaman berkenaan dua tahun lalu.

Menurut ibu kepada dua orang anak berusia 11 dan 21 tahun itu, dia cuba me­ngubah pandangan biasa itu dengan menzahirkan idea unik selari bajet, keperluan dan cita rasa seisi keluarga.

Di bahagian luar rumah, Noorazaini menggunakan pasu untuk menanam bu­nga, kebanyakan bunga kertas bagi mewujudkan Garden Noor yang hijau dan segar.

"Saya menggunakan pasu kerana mudah dijaga, selain tampak kemas," katanya.

Beliau berkata, sebenarnya suasana hijau yang terbentang di depan mata mengungkapkan persepsi tersendiri kepada penghuni dan tetamu yang bertandang.

Namun, segala itu belum cukup untuk mewujudkan keindahan semula jadi yang Noorazaini dan keluarga inginkan.

Melengkapkan lagi dekorasi kediaman itu, sebuah wakaf didirikan di hadapan rumah yang dikelilingi pokok bu­nga kertas dan pepohon hijau yang segar dan mengasyik­kan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 2:09 AM