Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Jaguh trek Azizulhasni Awang berwaspada dengan taktik pelumba tuan rumah Seiichiro Nakagawa yang tidak beraksi dalam acara keirin bagi perlumbaan pecut di Velodrome Izu, Jepun, hari ini.

Nakagawa “direhatkan” dalam acara keirin kelmarin sebaliknya tuan rumah menyenaraikan Kanazuri Watanabe dan Yuta Wakimoto.

“Sudah pasti dia menyimpan tenaga apabila tidak beraksi dalam acara keirin. Saya perlu berhati-hati,” katanya mengenai pelumba yang menjadi pencabar utamanya merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio.

Azizul dan Nakagawa hanya dibezakan 17 mata sebelum turun beraksi di ACC dengan pelumba China Xu Chao di tangga teratas mengumpul 417 mata.

Hanya dua pelumba terbaik Asia layak ke Rio dengan ACC dan Kejohanan Trek Dunia Mac ini menjadi medan untuk mengutip mata ke temasya Olimpik itu.

“Bukan dia saja yang perlu saya perhatikan kerana prestasi Im Chae Bin (Korea Selatan) dan Chao berada pada tahap terbaik kerana turut menyerlah sejak Piala Dunia di Hong Kong awal bulan ini.

“Namun semuanya bergantung pada hari perlumbaan. Saya akan memberikan yang terbaik ,” katanya yang meraih gangsa dalam acara keirin kelmarin.

Sementara itu Fatehah Mustapa menamatkan acara pecut individu di kedudukan kelima selepas tewas pada suku akhir kepada pelumba Korea Lee Hye Jin.

Manakala pelumba remaja negara Muhd Daniel Haikkal Edy Suhaidee (perlumbaan mata) dan Anis Amira Rosdi (acara kejar-mengejar individu) memastikan kilauan pingat berterusan apabila masing-masing menyumbangkan perak dan gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 8:50 AM