Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih berbasikal negara John Beasley yakin Malaysia akan mempunyai dua wakil pada temasya Sukan Olimpik Rio Ogos depan.

Berbaki dua kejohanan untuk mengutip mata, Beasley menjelaskan Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa akan menggalas cabaran negara ke temasya sukan terbesar itu.

“Azizulhasni akan layak dalam acara keirin kerana kini berada di ranking pertama Asia. Manakala bagi acara pecut, peluang cerah untuk turut melihatnya beraksi di Rio.

“Manakala Fatehah berada di kedudukan kedua pecut ketika ini, bagaimanapun acara keirin tidak berpihak kepadanya kerana berada pada kedudukan ketiga terbaik Asia,” jelasnya.

Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Oshima, Jepun minggu depan serta Kejohanan Trek Dunia di London Mac ini menjadi dua medan terakhir mengutip mata ke Olimpik Rio.

Ranking individu acara keirin dan pecut menawarkan dua tiket untuk pelumba terbaik Asia bergantung kepada kelayakan acara pecut berpasukan.

Manakala Jupha Somnet yang turut memburu kelayakan ke Rio berada dalam situasi sukar apabila omnium hanya memperuntukkan tempat kepada 18 pelumba terbaik selain perlu mengikut kuota yang diperuntukkan.

“Jupha tidak akan layak melainkan dia mampu menewaskan pelumba Jepun yang mempunyai kelebihan 49 mata ke atasnya. Secara jujurnya saya tidak fikir ia akan berlaku.

“Namun dia bukan gagal kerana sudah memberikan yang terbaik dan mempamerkan peningkatan pada setiap perlumbaan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:11 AM