MENAWARKAN latar ruang tamu moden berkeluasan 360 meter persegi.
LANDSKAPNYA juga diketengahkan dengan kehijauan semula jadi taman.
Susunan Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Muncul antara kediaman paling menarik di dunia, House M bagaikan inspirasi seni bina dan ruang dalaman moden.

Terletak di Merano atau Meran, utara Itali, kediaman ini juga sarat dengan mesej tersendiri.

Tanpa perlu mengeluarkan jutaan ringgit untuk membina House M, ia secara tidak langsung menolak teori bahawa kekuatan kediaman terletak pada perbelanjaan besar khususnya seni bina dan pembentukan ruang dalamannya.

Tampil dengan idea seni bina Itali, kediaman ini antara karya terhebat arkitek Monovolume Architecture and Design yang juga berpangkalan di Itali.

Melihat kepada seni bina luarannya sudah menggambarkan ia antara kediaman moden yang direka khas buat pemiliknya.

Ia turut menggabungkan idea binaan antara permukaan telus dan kukuh untuk mewujudkan reka bentuk yang menakjubkan.

Pembinaan konkrit terbuka dan elemen kaca pada bahagian hadapan kediaman itu menyediakan pemandangan menarik serta berbeza.

Ditambah dengan binaan elegan selain selesa dengan pendekatan minimalis.

Putih pula menjadi warna dominan yang melatari segenap binaan untuk dikontrakan dengan suasana hijau semula jadi persekitaran luarnya.

Sementara itu kemasan pintu kaca, tingkap dan dinding pula memberikan kesan moden biar pun dilihat dari jauh.

Binaan praktikal turut menjadi keutamaan apabila konkrit putih dan kaca dinding menegak diketengahkan sebenarnya banyak membantu House M dikatakan cukup moden.

Mengambil kira dekorasi ruang dalaman, nyata kediaman indah itu turut tampil memukau dengan putih sebagai warna utama sama dengan bahagian luarannya.

Ia membuktikan idea pereka dalaman House M turut melakukan terbaik untuk meletakkan kediaman ini antara terindah di dunia termasuk dari segi keselesaan penghuni dan tetamunya.

Tidak keterlaluan jika House M dikategorikan antara kediaman moden yang diimpikan kebanyakan generasi muda hari ini.

Malah kediaman itu menawarkan latar ruang tamu moden berkeluasan 360 meter persegi.

Perabot rona gelap dengan kemasan lantai putih dan langsir putih dari siling ke lantai juga membuatkan ruang tamu itu begitu luas, praktikal dan moden.

Kehadiran tangga dalam rona putih dalam gaya minimalis bersebelahan dinding kaca nipis.

Begitu juga latar ruang dapur yang tidak kurang menarik apabila digayakan dengan konsep putih moden.

Sementara di bahagian garaj pula diserikan dengan kertas dinding berlatarkan senario bandar New York.

Landskapnya juga diketengahkan dengan kehijauan semula jadi taman yang melengkapkan keindahan kediaman unik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 10:31 AM