IBU bapa perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dengan keluarga.
JANGAN serah tugas mendidik dan mendampingi anak kepada individu lain.
HUBUNGAN dengan ibu bapa pengaruhi emosi anak.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Anak memberontak, cepat marah atau kerap meragam! Situasi itu pastinya membuatkan ibu bapa tertekan dan buntu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasinya apatah lagi jika si kecil buat perangai di rumah orang atau di tempat awam.

Hakikatnya, situasi itu bukan sahaja dipengaruhi faktor fizikal mahupun kesihatan si anak, namun pada masa sama ia turut berkait rapat dengan perkembangan emosi mereka.

Faktor kekurangan masa ibu bapa untuk diluangkan bersama anak-anak kerana tuntutan kerja di rumah mahupun di pejabat pastinya merumitkan lagi keadaan emosi si kecil tersayang.

Pakar Psikoterapi Klinikal & Pengetua Akademi Keibubapaan Asia Ko Teik Yen berkata, kebanyakan ibu bapa tidak mempunyai masa yang mencukupi dalam mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan memenuhi keperluan peribadi mereka sendiri.

Menurut Ko, faktor kesibukan dalam menguruskan anak di samping tuntutan tugas di pejabat menjadikan kebanyakan ibu bapa sering kali mengabaikan diri sendiri serta individu di sekelilingnya.

“Situasi itu bukan sahaja mengganggu emosi kedua-dua ibu bapa malah ia juga mengakibatkan anak terpaksa dihantar ke kelas tambahan atau kem tertentu bagi memastikan masa mereka terisi.

“Keadaan ini dalam jangka masa panjangnya boleh menjejaskan ikatan kekeluargaan, yang mengakibatkan hubungan kekeluargaan menjadi kurang baik disebabkan anak membesar tanpa mendapat bimbingan dan dampingan ibu bapa secukupnya,” katanya.

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila keadaan itu menyebabkan anak memberontak atau menyendiri yang akhirnya mengganggu perkembangan emosi dan sosial mereka.

“Lebih menyedihkan apabila keadaan itu sering berakhir dengan perkara negatif antaranya ketagihan kepada Internet atau mudah terjebak dalam masalah sosial.

“Sebelum ia terjadi, lebih baik kita mencegahnya dengan mencari jalan penyelesaian terbaik. Caranya ialah mendampingi anak dan meluangkan masa secukupnya untuk mengenali serta memahami mereka,” ujarnya.

Walaupun dilihat agak sukar terutama apabila kebanyakan ibu bapa terlalu terikat dengan tuntutan kerja, namun perlu di­ingatkan emosi anak adalah perkara terpenting yang perlu diberi perhatian.

“Selain peranan ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling turut berperanan dalam menangani masalah ini. Berkunjung ke lokasi ‘mesra keluarga’ atau tempat menarik pada hujung minggu mampu membantu menjalinkan ikatan antara ibu bapa dan anak secara semula jadi.

“Ibu bapa perlu menyedari kepentingannya dan memainkan peranan mereka sebaik mungkin dalam meneroka kaedah terbaik mengeratkan kasih sayang dan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Katanya, bercuti atau melakukan aktiviti yang menarik dapat mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak walaupun sekadar beriadah di rumah atau bergotong-royong membersihkan kawasan rumah.

“Kebanyakan kajian kekeluargaan menunjukkan kepentingan menyediakan ikatan yang kukuh dan jalinan emosi antara anak dan ibu bapa mempunyai kesan lebih besar kepada pembelajaran serta perkembangan mental si anak.

“Ibu bapa yang banyak membabitkan diri dalam pembesaran anak sejak mereka kecil akan membentuk didikan yang sihat dan positif. Ia secara tidak langsung akan melahirkan individu yang lebih positif,” katanya.

Menurut Ko, semua faktor itu membuktikan ibu bapa perlu mencari kaedah terbaik untuk meluangkan masa bersama anak bagi memastikan si kecil tersayang membesar dengan baik terutama dari segi emosinya.

Galas tanggungjawab mendidik

Ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mengambil jalan mudah dengan menyerahkan tugas mendidik dan mendampingi anak kepada penjaga seperti pembantu rumah, pengasuh mahupun ahli keluarga.

Perkara itu pastinya bukan saja salah, malah lebih membimbangkan apabila ia boleh merosakkan hubungan kekeluargaan selain menjarakkan hubungan antara ibu bapa dengan anak.

Ko berkata, jangan sesekali melakukan perkara terbabit kerana ia pastinya menyebabkan segalanya semakin sukar apabila si anak mula beranggapan ibu bapa bukanlah individu paling penting dalam hidup mereka.

“Selain hubungan kasih sayang semakin renggang, emosi si anak juga semakin bercelaru dan pada masa sama mereka sebenarnya ketandusan kasih sayang yang diperlukan. Kita juga bimbang jika anak berasakan ibu bapa tidak menyayangi mereka.

“Sekiranya terlalu sibuk dan terpaksa meletakkan si anak di bawah penjagaan individu lain pada waktu anda bekerja, apa yang paling penting adalah kebijaksanaan anda dalam mengawal serta memastikan anak tidak rasa terasing,” katanya.

Menurutnya, tidak kira betapa sibuk pun anda, pastikan anda meluangkan masa secukupnya dengan anak selepas pulang bekerja dan sering berkomunikasi bagi menerangkan mengapa mereka terpaksa ditinggalkan bersama individu lain pada siang hari.

“Apabila balik ke rumah, ketepikan gajet elektronik dan rakan sosial maya anda. Jangan leka melayan rakan maya hingga anak ketandusan perhatian dan kasih sayang. Pastikan juga waktu makan dan bersama anak tidak diganggu oleh telefon bimbit.

“Semua perkara ini penting bagi mengukuhkan lagi emosi anak tidak kiralah berapa pun usia mereka kerana semua anak memerlukan perhatian serta kasih sayang yang cukup daripada ibu bapa.

“Sekiranya si anak masih pada usia bayi hingga kanak-kanak, luangkan masa bermesra dan bermain dengannya termasuk bercerita sebelum waktu tidur. Sekiranya si anak sudah meningkat remaja, banyakkan komunikasi dan cuba memahami perasaan mereka,” ujarnya.

Antara kaedah yang boleh dilakukan bagi mengukuhkan lagi hubungan ibu bapa dan anak:

- Bercuti atau beriadah dengan anak dengan melakukan aktiviti menarik.

- Banyakkan komunikasi, bercerita dan menggalakkan anak bercerita perjalanan hariannya kepada anda.

- Kerap menerangkan mengapa anda sibuk pada siang hari.

- Lakukan tugas di rumah bersama-sama.

- Habiskan masa bersama anak ketika anda tidak bekerja.

- Sesekali tidak salah untuk memberikan anak hadiah atau barangan kesukaan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 10:33 AM