AHMAD Zahid ditemui wartawan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Nor
Nor Ain Mohamed Radhi dan Safeek Affendy Razali
cnews@nstp.com.my


PROSES mengambil keterangan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai sepenuhnya selepas tiga hari berturut-turut berbuat demikian.

Ahmad Zahid berkata, SPRM berpuas hati dengan kerjasama yang diberikannya selain beliau bersedia kembali sekiranya masih ada butiran dan maklumat lain yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan.

“Sepanjang proses merakam percakapan ini, saya memberikan kerjasama sepenuhnya tanpa melindungi apa-apa maklumat (nothing to hide), dan saya harap tindakan ini dapat menjelaskan kekeliruan yang wujud di kalangan masyarakat.

“Saya harap tindakan sama seperti yang saya lakukan harus diikuti oleh mana-mana pihak apabila dipanggil untuk memberikan keterangan. Berikanlah kerjasama sepenuhnya kepada pegawai SPRM,” katanya sebaik sesi siasatan ke atasnya selesai dijalankan.

Katanya, beliau amat menghargai tindakan dilakukan oleh pegawai SPRM yang dianggap menjalankan tugas dengan profesional sepanjang proses siasatan berlangsung bermula Rabu lalu.

“Saya juga bersedia untuk datang semula memberikan keterangan sekiranya maklumat-maklumat sebelum ini tidak memenuhi keperluan dalam penyiasatan mereka (SPRM),” katanya.

Beliau berkata, sepanjang proses berkenaan, beliau sudah memberikan butiran terperinci bagi menjelaskan tujuh perkara yang menjadi bahan untuk siasatan.

Namun, Zahid tidak menjelaskan butiran atau maksud mengenai tujuh perkara yang dinyatakannya.

Berdasarkan maklumat sumber, siasatan yang dijalankan ke atas Presiden UMNO itu merujuk kepada penggunaan dana Yayasan Akal Budi sebanyak RM800,000 untuk menjelaskan bayaran kad kredit miliknya.

Proses siasatan oleh SPRM hari ini bermula jam 9.30 pagi sebelum berhenti jam 12.10 tengah hari untuk sembahyang Jumaat.

Proses siasatan berkenaan bersambung semula jam 3.10 petang sehingga jam 7.40 malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 8:40 PM