LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam mengenai mangsa maut akibat dilanggar ketika melintas jalan di Jalan Lorong Pandan, Melaka.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


TUKANG paip ditahan, hari ini selepas dipercayai terbabit dalam insiden langgar lari mengakibatkan seorang wanita warga emas maut di Jalan Lorong Pandan, Melaka, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada 1 tengah hari selepas hadir ke Balai Polis Trafik Melaka Tengah.

“Ketika kejadian, lelaki berkenaan memandu kereta Nissan Sunny dan pemeriksaan lanjut mendapati lesen memandunya tamat tempoh sejak Mac lalu.

“Bagaimanapun kenderaan terbabit kemudian dijumpai diletakkan di Apartmen Kesidang Indah tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pemandu terbabit kini direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media semalam melaporkan seorang wanita warga emas yang sedang melintas jalan maut dipercayai dilanggar lari.

Dalam kejadian 7.10 malam itu, mangsa Yeo Kue Toh, 70, maut di lokasi kejadian selepas dia terseret sejauh kira-kira 40 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 6:12 PM