NOREDDY Mohd Nasir 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meliwat remaja bawah umur di Mahkamah Sesyen, Kompleks Mahkamah Indera Mahkota Kuantan. FOTO Farizul Hafiz Awang
TN Alagesh
cnews@nstp.com.my


PEMBANTU kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini, atas tuduhan meliwat remaja bawah umur di premis berkenaan, di Jalan Beserah, Kuantan, bulan lalu.

Noreddy Mohd Nasir, 28, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap remaja lelaki berumur 15 tahun, di kedai makan tempatnya bekerja kira-kira 11 pagi, 30 September lalu.

Tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 377(A) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari turut meminta mahkamah mengenakan tertuduh diikat jamin berjumlah RM15,000, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikurangkan kerana hanya berpendapatan RM900 sebulan selain menjaga ibunya.

Hakim, Siti Aminah Ghazali kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Noreddy supaya tidak mengganggu mangsa.

Beliau kemudian menetapkan 14 November ini sebagai sebutan semula kes itu.

Sementara itu di mahkamah yang sama, penjual sate, Zulkhairul Kople, 28, mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan perlakuan seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, di Perumahan Komuniti Bersepadu, Paya Serai, Pekan, kira-kira 4 petang, 10 September lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dipenjarakan tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah dengan tujuan menakutkan mangsa pada tempat, masa dan tarikh yang sama, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun denda atau kedua-duanya sekali.

Siti Aminah kemudian mengarahkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin dan memutuskan 14 November ini untuk sebutan semula kes.

Beliau juga mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan pendakwaan turut dilakukan oleh Farahah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 3:35 PM