Rizanizam Abdul Hamid dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 68,317 pengundi akan menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, 1,403 petugas akan ditempatkan di 154 saluran di 32 pusat mengundi di daerah ini.

“Kita berharap pengundi akan keluar awal pagi walaupun waktu mengundi dilanjutkan dari 8 pagi sehingga 5.30 petang kerana keadaan cuaca yang diramal hujan pada waktu petang.

“Pengundi diharap dapat membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal melalui portal www.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak, talian 03-88927018 atau SMS ke 15888,” katanya pada sidang media di Port Dickson, hari ini.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir dua jam meninjau persiapan PRK berkenaan di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, di sini.

Othman turut mengingatkan penyokong parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan provokasi bagi memastikan proses pengundian berjalan secara aman tanpa insiden tidak diingini.

“Tiada pihak boleh merayu undi termasuk di luar pusat mengundi dan melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“SPR menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar, manakala keputusan penjumlahan undi akan diumumkan sebelum 10 malam esok di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson ,” katanya.

Mengenai pemantauan SPR sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata secara keseluruhan tempoh berkempen yang akan tamat 11.59 malam ini berjalan dengan baik.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Calon Bebas lain adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membolehkan Anwar kembali ke Dewan Rakyat.

Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 1:20 PM
PETUGAS SPR berkumpul sempena taklimat khas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. FOTO Iqmal Haqim Rosman