DATUK Seri Najib Razak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa tidak menyangka rakyat menjadi mangsa kononnya akibat ‘dendam’ kerajaan terhadap dirinya.

“Saya tidak terfikir kerajaan yang berdendam dengan saya seorang akan membawa kesusahan pada saudara-saudari,” katanya dalam catatan di Facebook rasminya, hari ini.

Kenyataannya itu dipercayai merujuk isu pembatalan pakej projek Transit Aliran Massa (MRT2) yang dianugerahkan kepada gabungan Gamuda dan MMC Corp (Gamuda-MMC) yang dibimbangi menyebabkan 20,000 pekerja dan 600 lagi syarikat tempatan akan hilang punca pendapatan.

Sebelum ini, beliau menegaskan projek berkenaan dianugerahkan kepada Gamuda-MMC secara tender terbuka antarabangsa pada 2016 dan kini ia siap kira-kira 40 peratus.

Katanya, Gamuda-MMC terpilih dengan bidaan terbaik daripada segi teknikal dan harga paling rendah, mengatasi empat syarikat lain disenarai pendek untuk tender berkenaan.

“Saya bimbang. InfraRakyat (MRT2) kita sediakan untuk kemudahan rakyat, supaya mudah buat berulang-alik, tidak terlalu bergantung kepada kereta.

“(Projek MRT2 itu) supaya rakyat kita dapat pekerjaan. Supaya graduan kita dapat pengalaman latihan dan kemahiran, bersama-sama membina sebuah mercu tanda negara.

“(Tetapi) kerajaan hari ini hanya memikirkan keuntungan dan tidak terfikir impak kepada kebajikan rakyat,” katanya.

Najib berkata, beliau bimbang memikirkan puluhan ribu rakyat akan kehilangan nafkah dan pekerjaan serta hanya mampu berdoa untuk kebaikan mereka.

“Saya resah bayangkan kehidupan keluarga mereka selepas ini, ada yang gaji mereka cuma RM1,200 sebulan.

“Dulu, kita cipta peluang pekerjaan bagi graduan kita membangunkan Malaysia. Dengan pekerjaan stabil, mereka dapat membina rumah tangga dan keluarga.

“Saya tidak terfikir kesenangan saudara-saudari sekeluarga akan bertukar jadi kesusahan,” katanya lagi.

Kerajaan semalam tampil menjelaskan projek kerja bawah tanah bagi MRT2 tidak dibatalkan, sebaliknya kontrak itu akan diberikan kepada kontraktor yang boleh menjalankan operasi pada kos lebih rendah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 11:15 PM