KEADAAN pacuan empat roda yang 'tersangkut' dalam kejadian tanah runtuh berdekatan Empangan Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


KEJADIAN tanah runtuh dilaporkan berlaku membabitkan jalan tar sedalam enam meter dan berkeluasan 4.6 meter persegi berdekatan Empangan Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Insiden itu turut menyebabkan bahagian depan pacuan empat roda Toyota Hilux ‘tersangkut’ di lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pemandu kenderaan itu berjaya keluar untuk menyelamatkan diri dan dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Katanya, tiada individu lain berada di lokasi kejadian.

“Kita menerima panggilan kecemasan jam 1.14 tengah hari sebelum 10 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dihantar ke lokasi.

“Anggota terbabit membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi kejadian dan menyerahkan kes itu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 8:09 PM