GAMBAR hiasan
Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my


PENANGGUHAN hukuman mati mandatori diumumkan kerajaan akan memberi kesan kepada lebih 1,200 banduan yang sebelum ini didapati bersalah oleh mahkamah berikutan pelbagai kesalahan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, pihaknya akan akur terhadap sebarang percaturan Kabinet, termasuk pertimbangan sebulat suara untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mandatori.

Beliau menyifatkan, langkah penghapusan bersandarkan prinsip kemanusiaan itu sejajar dasar kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) yang menjanjikan bahawa sudah tiba masanya hukuman berat berkenaan digantikan dengan kaedah lain.

"Itu dasar kita sebagai sebuah kerajaan baharu, justeru kementerian mengalu-alukan ia kerana mengikut prinsip kemanusiaan. Kita akan cari hukuman lebih setimpal tanpa menggunakan tindakan punitif berbentuk mati mandatori.

"Sehubungan itu, mengikut perangkaan kita setakat ini, pengumuman penangguhan hukuman mati mandatori berkenaan akan memberi kesan kepada 1,278 banduan.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) selaku badan pelaksana akan mengikut keputusan Kabinet jika arahan penangguhan (hukuman mati mandatori) dikeluarkan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, semalam dilaporkan berkata, pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan pengumuman itu, beliau berkata, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan berkenaan berkuat kuasa.

Berdasarkan perangkaan sehingga 1 Oktober lalu, Azis berkata, jumlah banduan yang menghuni penjara adalah 59,245 orang, iaitu 45,388 daripada ialah rakyat negara ini manakala selebihnya, iaitu 13,857 terdiri daripada warga asing.

Fakta nombor

  • 1,278 banduan diperuntukkan hukuman mati

  • 59,245 banduan menghuni penjara, setakat 1 Oktober 2018

  • 45,388 banduan ialah warganegara Malaysia

  • 13,857 warga asing
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:43 PM