Hazsyah Abdul Rahman

KEMATIAN seorang daripada dua lelaki dalam kereta yang enjinnya masih hidup di Kampung Jaya Baru, Kinabatangan, semalam, disahkan akibat terhidu gas karbon monoksida.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat berkata, bedah siasat ke atas Mohd Fitri Haimin, 19, yang ditemui mati di tempat duduk pemandu kereta berkenaan, dijalankan di bilik mayat Hospital Kinabatangan 10.40 pagi hingga 1.30 tengah hari tadi.

“Hasilnya, mangsa disahkan mati akibat keracunan (terhidu karbon monoksida).

“Karbon monoksida dilaporkan daripada pelepasan kenderaan dan gas penghawa dingin kenderaan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

A Sahak berkata, bedah siasat ke atas mayat seorang lagi mangsa sedang dijalankan.

Pada semalam, Mohd Fitri dan rakannya, Mohd Helmi Muhammad, 19, ditemui tidak sedarkan diri dan berbaring di kerusi hadapan kereta terbabit di tepi jalan di kampung berkenaan.

Sementara itu, jenazah Mohd Fitri dimandi dan disembahyangkan di Masjid Wasatiyyah, dekat Batu Sapi, Sandakan, petang tadi.

Bapa saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, kedua-dua mangsa bekerja di kawasan Jeroco di Lahad Datu dan mereka dari Keningau untuk pulang ke Lahad Datu.

“Mohon doakan mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.

Berita berkaitan:

Dua remaja ditemui mati dalam kereta

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 7:07 PM