GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Hamzah Nordin

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) tidak bersetuju dengan cadangan supaya cuti sekolah dilaksana secara berperingkat untuk menjana sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di kawasan tumpuan pelancong tempatan.

Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, cadangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu agak janggal dan boleh menjejaskan sistem persekolahan yang disusun menyeluruh setiap tahun.

“Selain itu, cadangan itu boleh menyukarkan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah di sekolah berasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan SBP Intergrasi di tempat lain, kecuali anak mereka bersekolah di kawasan yang sama.

“Malaysia tidak seperti negara lain yang luas dan besar seperti Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan China yang mempunyai zon waktu yang berbeza serta pelbagai musim.

“Perjalanan laluan darat dari Johor Bahru ke Kangar, Perlis hanya kira-kira 12 jam berbanding di Amerika Syarikat yang jarak perjalanan sebelah barat ke timur negara itu yang mengambil masa hari-hari.

“Selain itu, cadangan cuti sekolah berperingkat akan menyukarkan percutian bersama keluarga kerana perbezaan hari cuti sekiranya anak masing-masing bersekolah di tempat lain,” katanya ketika dihubungi di Jerantut, hari ini.

Jasni mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik supaya cuti sekolah bagi tiga penggal pertama persekolahan dibuat secara berperingkat mengikut negeri, yang biasanya pada Mac, Jun dan September.


JASNI Md Kechik. FOTO arkib NSTP

Muhammad Baktiar dipetik mencadangkan cuti itu boleh bahagikan negeri di kawasan utara, selatan dan pantai timur supaya tempoh minggu cuti sekolah di negeri ini berbeza antara satu sama lain.

Menerusi cadangan itu katanya, kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa dan bukannya seperti keadaan sekarang apabila keadaan menjadi terlalu sesak menjelang cuti sekolah.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Anuar Hussin berkata, cadangan itu hanya akan menjejaskan sistem persekolahan, jadual perjalanan sukan dan pelbagai program di peringkat kebangsaan.

“Pihak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), mempunyai jadual sukan yang padat yang sudah disusun dan disesuaikan dengan sistem cuti sekolah yang seragam.

“Peperiksaan awam, turut terjejas seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sedangkan peperiksaan itu tidak dijalankan jika terdapat cuti umum di negeri terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 5:39 PM