PENGARAH Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi KKM, Dr. Kamaruzaman Saleh (kiri) dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh (kanan) melihat produk kecantikan dan produk kesihatan yang dilarang ketika melawat gerai pameran pada Karnival Farmasi Negeri Terengganu 2018 di Terengganu Trade Centre. FOTO Rozainah Zakaria
Helmy Abd Rahman
cnews@nstp.com.my


KEGILAAN golongan lelaki memiliki tenaga luar biasa di ranjang dan wanita yang ingin kelihatan cantik menjadi penyebab utama peniaga ubatan tidak berlesen di dalam talian muncul seperti cendawan selepas hujan.

Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Kamaruzaman Saleh berkata, pihaknya berasa bimbang dengan sikap pengguna yang terlalu mudah percaya dengan janji manis peniaga produk berkaitan seks dan kosmetik, yang mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya tanpa menghiraukan keselamatan diri.

“Walaupun masih terkawal, terdapat lambakan produk-produk tidak berdaftar ini di dalam talian berikutan permintaan tinggi wanita yang nak kelihatan cantik dan lelaki yang mencari ubat kuat.

“Kerana itu kita menjalankan kempen kesedaran untuk mendidik pengguna supaya tidak menggunakan produk tidak berdaftar atau kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM.

“Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran produk yang ingin dibeli di Internet melalui laman web http://npra.moh.gov.my atau hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Karnival Farmasi Terengganu 2018 Sempena Hari Farmasi Sedunia di Pusat Perdagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh.

Mengulas lanjut, Dr Kamaruzaman berkata, sepanjang 2017, sebanyak 1,096 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi membabitkan nilai lebih RM2 juta dirampas di negeri ini.

“Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 51 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak lebih RM1.6 juta membabitkan 745 jenis ubat tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dirampas. Daripada jumlah itu, sebanyak 48 kertas siasatan dibuka pada tahun ini.

“Pada 2017, sebanyak 45 kes didakwa di mahkamah mengikut kesalahan Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952 membabitkan denda berjumlah RM181,800 manakala sehingga September tahun ini, sebanyak 41 kes didakwa di mahkamah membabitkan kutipan kes yang disabitkan kesalahan sebanyak RM173,500,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Oktober 2018 @ 4:53 PM